KENINGAU: Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Sabah Suhaimi Zainuddin berkata, pengurusan kewangan yang betul adalah nadi kepada sesebuah syarikat yang berdaya saing.
Katanya, rekod pengurusan kewangan dan perakaunan yang cekap amat penting dalam meningkatkan produktiviti perniagaan syarikat.
“Saya melihat bahawa usahawan memandang remeh mengenai ini (rekod kewangan) .. saya mahu kelemahan ini diperbetulkan jika anda mahu berjaya dalam perniagaan,” katanya ketika merasmikan kursus pengurusan kewangan ‘Let’s Do The Accounting’.
Kursus tiga hari itu disertai seramai 30 orang usahawan yang dikendalikan oleh Pengarah NEDC Resources Konsultant Haslinda Hashim.
Pegawai MARA daerah Mohd Zairul Fiza Mohd Zain dan Presiden Keningau Enterpreneurs Club (KEC) Elroon Liberty hadir sama di majlis itu.
Ketika ditemui selepas majlis itu, Suhaimi berkata, agensi itu telah berjaya melahirkan ramai usahawan tempatan sehingga ke tahap jutawan.
Katanya, kejayaan yang mereka raih itu adalah hasil usaha berterusan bagi memastikan setiap usahawan yang bernaung di bawah agensi itu mendapat bimbingan yang secukupnya.
“Agensi ini (MARA) bukan sekadar memberi penekanan bahawa keusahawanan penting, tetapi membantu usahawan sedia ada yang ingin meningkatkan perniagaan,”
“Sebab itu kita menyediakan pelbagai kursus meliputi pelbagai aspek keusahawanan … semua ini bertujuan untuk memastikan mereka (Usahawan) mencapai matlamat sebagai ahli perniagaan yang berjaya,” katanya kepada Borneo Digest.
Suhaimi berkata, agensi itu sentiasa bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin tempatan untuk memastikan segala maklumat mengenai program yang ditawarkan sampai kepada golongan sasar khususnya belia dan beliawanis di kawasan luar bandar.
“Apa yang agensi ini mahu ialah mengambit penyertaan golongan belia dalam bidang keusahawanan … kita memiliki kepakaran untuk melatih, kita menyediakan kursus, dana dan ruang perniagaan untuk disewakan kepada mereka (belia dan beliawanis),”
“Saya sangat mengharapkan lebih ramai belia dan beliawanis luar bandar untuk bersama dengan MARA … merebut peluang, perkhidmatan, bantuan serta insentif-insentif yang disediakan,” katanya.
Beliau mengakui bahawa masih ramai belia di luar bandar tidak mendapat akses sepenuhnya dengan agensi itu disebabkan kurang mendapat maklumat.
Sungguh pun begitu tambahnya, agensi itu telah merancang pelbagai aktiviti untuk memastikan belia dan beliawanis luar bandar berpeluang menjadi sebahagian daripada komuniti MARA.
Mengenai kursus itu, Suhaimi menasihatkan usahawan supaya mengambil perhatian serius mengenai pengurusan kewangan syarikat mereka.
Katanya, pengurusan kewangan yang betul adalah nadi kepada sesebuah syarikat yang berdaya saing.
1,068 total views, 1 views today