Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Perang Dunia Ketiga ‘pada bila-bila masa’

0

CHINA memberi baya­ngan Perang Dunia Ketiga boleh berlaku ‘pada bila-bila masa’ serta memberi amaran negara ini ‘hanya menunggu masa’ merampas semula Taiwan.

China meningkatkan operasi ketenteraan di sekitar pulau itu dengan menerbangkan 150 pesawat hujung minggu lalu sebagai isyarat mempamerkan kekuatannya semasa cuti Hari Kebangsaan.

Daily Mail melaporkan, negara ekonomi kedua terbesar dunia itu dilaporkan sudah bersedia me­lakukan pencerobohan skala penuh ke pulau itu pada 2025.

Lantaran itu, Menteri Pertahanan Taiwan, Chiu Kuo-cheng memberikan amaran paling tegas semasa persidangan Parlimen yang menyifatkan Beijing ‘mempunyai kapasiti’ melakukan serangan segera.

Namun katanya, China dilihat mengurangkan kos yang perlu ditanggung sebelum melancarkan serangan.

“Menjelang 2025, China akan menurunkan pembiayaan dan penurunan kos ke tahap terendah.

“Negara itu memiliki kemam­puan, tetapi tidak akan melancarkan perang dengan mudah kerana perlu mempertimbangkan ba­nyak perkara lain,” katanya.

Kuo-Cheng menzahirkan kekecewaan terhadap hubungan ketenteraan dengan China yang disifatkan terburuk sejak tempoh 40 tahun.

Amaran menakutkan itu muncul ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berusaha meyakinkan penduduk dunia bahawa beliau telah menghubungi Xi Jinping dan Presiden China itu dikatakan ‘bersetuju mematuhi perjanjian Taiwan’.

Biden bercakap mengenai Akta Perhubungan Taiwan dengan AS bersetuju menjalinkan hubungan diplomatik dengan Beijing, sekiranya memenuhi syarat masa depan Taiwan diputuskan melalui perdamaian.

Tindakan itu mengikat AS untuk memberi Taiwan senjata membela diri, sebagai ganti Washington tidak akan mengambil kedudukan mengenai kedau­latan pulau itu serta mengakui pulau itu milik Beijing sebagai sebahagian daripada ‘Satu China’.

Panggilan terakhir Biden yang direkodkan dengan Jinping adalah 9 September lalu.

White House sebelum ini tidak mendedahkan Taiwan menjadi sebahagian daripada perbinca­ngan mereka.

PERANCIS SOKONG TAIWAN
Sementara itu, sekumpulan Senator Perancis mengadakan kunjungan ke Taiwan sebagai sokongan terhadap pemimpin demokratik di sebalik tekanan Beijing membatalkan lawatan tersebut.

Kumpulan itu diketuai Senator Alain Richard yang mengadakan pertemuan dengan Presiden, Tsai Ing-wen.

Kunjungan itu dilakukan ekoran kemarahan Perancis terhadap pakatan baharu yang ditandatangani Australia, United Kingdom (UK) dan AS iaitu (AUKUS) bagi membantu Australia memperoleh

kapal selam nuklear pertama sekali gus menyaksikan perjanjian terdahulu antara Canberra dan Paris terbatal.

Beberapa pemimpin dunia menegaskan AUKUS tidak mengancam mana-mana negara, namun ia sebagai ranca­ngan menyeimbangkan kekuatan China di Laut China Selatan.

Konflik berpanjangan antara Taiwan dan China semakin memuncak sejak 2019, ketika Jinping berusaha ingin ‘menyatukan’ pulau itu dengan menggunakan segala kekuatan sekiranya perlu.

AS mempunyai dasar lama ‘kesamaran strategik’ terhadap pertahanan pulau itu dan bersedia bertindak jika pasukan asing menyerang.

Biden baru-baru ini memberi peringatan negara itu akan sedia berperang sekiranya China menye­rang Taiwan.

‘KITA AKAN PERTAHANKAN TAIWAN’
Dalam pada itu, Ing-wen berikrar Taiwan akan ‘melakukan apa sahaja demi mempertahankan kedaulatan negara’.

Beliau berkata: “Negara-negara demokratik perlu ingat, jika Taiwan gugur, kesannya adalah bencana kepada keamanan serantau dan sistem demokrasi”.

Beliau seterusnya berharap keamanan dapat dicapai bersama China, tetapi jika terancam, Taiwan akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan diri.

 

 

 

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.