Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

PERNAS sasar potensi pembiayaan francais RM4 juta di Sabah

0

KOTA KINABALU: Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) menyasarkan potensi pembiayaan usahawan francais RM4 juta di Sabah tahun ini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, secara keseluruhannya, tahun ini PERNAS yang merupakan agensi KUSKOP  menyediakan pembiayaan RM50 juta di seluruh negara untuk usahawan berkaitan francais.

Katanya, PERNAS telah membiaya 69 usahawan Sabah dengan nilai pembiayaan sebanyak RM12.7 juta dan pada tahun ini menyasarkan potensi pembiayaan RM4 juta.

“Industri francais di Sabah dilihat  berkembang positif dan saya bangga kerana terdapat pelbagai jenama francais home grown Sabah seperti Mok, Fook Yuen, Nuvis, Sinar Suria, Happy

Potato dan pelbagai lagi jenama yang dilihat berpotensi dikembangkan seperti jenama-jenama Alap-Alap, Cendol Ina, The Hot Puff, Skippee dan Keropok Lekor Masyhur.

“Perkembangan pelbagai jenama home grown di Sabah membuktikan jenama tempatan juga mampu bersaing dengan jenama-jenama francais antarabangsa yang lain.

“Perkembangan positif ini seharusnya menjadi pemangkin kepada bakal usahawan serta usahawan di Sabah untuk menceburkan diri dalam perniagaan francais,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival PERNAS, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Ewon menekankan, jenama-jenama tempatan Sabah perlu diangkat dan dibawa ke persada global.

“Saya mahu melihat lebih ramai usahawan-usahawan francais dapat dilahirkan di Sabah. Pada Julai lalu, saya menyertai misi perdagangan antarabangsa berkaitan francais ke Thailand dan saya amat kagum melihat jenama-jenama tempatan yang sudah menempa nama di luar negara seperti GlobalArt, Myeondong Topokki dan LaundryBar,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru usahawan-usahawan di Sabah supaya menggunakan peluang yang disediakan oleh KUSKOP dan PERNAS untuk membangunkan perniagaan melalui akses pasaran, bantuan dan bimbingan yang disediakan.

Mengenai karnival ini, Ewon berkata penganjuran karnival yang julung kali diadakan bertujuan memperkasa keusahawanan francais dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) setempat melalui perkhidmatan dan produk PERNAS dan agensi-agensi KUSKOP.

Selain itu katanya, ia menggalakkan penyertaan orang ramai dalam bidang keusahawanan khususnya dalam bidang francais dan mempromosi produk serta perkhidmatan usahawan setempat.

“Karnival ini merupakan platform terbaik untuk pihak kementerian dan agensi turun padang mempromosikan bidang keusahawanan kepada orang ramai,” katanya.

Lebih 100 usahawan dan pempamer perniagaan menyertai karnival usahawan francais, prafrancais, usahawan tempatan yang mempromosikan perkhidmatan, makanan, bahan segar, kraftangan, produk tradisional serta trak makanan.

Pada majlis ini, turut diadakan Sesi Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERNAS dan Serai Group Sdn Bhd (Serai Group) yang bertujuan mengukuhkan kerjasama kedua-dua pihak dalam pembangunan perniagaan, pengembangan pasaran dan inisiatif sokongan keusahawanan.

Hadir sama Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian & Keusahawanan Sabah (MIDE) Datuk Thomas Logijin, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) Leonard Stephen Poyong dan Ahli Lembaga Pengarah PERNAS, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS dan ketua-ketua agensi KUSKOP.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.