Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Pilihan Raya AS, pengundian awal bermula di beberapa negeri

0

ARLINGTON: Hanya berbaki lebih sebulan sebelum pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) diadakan pada 5 November, tetapi undian awal sudah dimulakan di beberapa negeri pada Jumaat.

Pengundian awal sudah bermula di negeri Virginia, South Dakota, dan Minnesota, di mana pengundi memilih antara calon Demokrat, Naib Presiden AS, Kamala Harris dan calon Republikan, bekas Presiden AS, Donald Trump.

Tiga negeri terbabit memulakan pengundian awal 46 hari sebelum hari pengundian utama, dalam persaingan yang sehingga kini dikatakan masih sengit dengan kedua-dua calon terus menerima sokongan hampir sama.

Trump sebelum ini kerap menyatakan keraguannya bahawa, jika tidak kerana pengundian awal dan pengundian melalui pos, beliau sebenarnya menang pemilihan presiden 2020 menentang Biden.

Kebanyakan negeri di AS membenarkan pengundian awal secara fizikal atau melalui pos bagi membolehkan rakyat menangani konflik jadual atau ketidakmampuan untuk mengundi pada hari pilihan raya itu sendiri iaitu 5 November ini.

Setiap undi amat berharga dalam pemilihan kali ini, namun setakat ini Trump belum menyatakan sama ada beliau akan menerima atau menolak hasil keputusan undi awal kali ini.

Harris, 59, berjaya merapatkan jurang sokongan Trump sejak menggantikan Biden sebagai calon Demokrat pada Julai lalu, dan kini kedudukannya setara dengan calon Republikan itu.

Keputusan dijangka bergantung kepada piliha pengundi di tujuh negeri penting, termasuk Georgia dan Wisconsin.

Setiap daripada 50 negeri di AS mempunyai prosedur pengundian yang berbeza: pengundian awal melalui pos atau secara fizikal, pengundian pada hari pilihan raya, atau gabungan ketiga-tiganya.

Bagi sesetengah warga AS, mengundi secepat mungkin menjadi tradisi sekeluarga dan blok pengundi seumpamanya lazimnya adalah penyokong tegar, baik Demokrat atau Republikan .

Di Arlington, di seberang Sungai Potomac dari ibu negara AS, Washington, pusat bandar dipenuhi dengan poster dan papan tanda memaparkan Harris atau Trump.

Aktivis kempen menyediakan gerai maklumat, manakala pengundi, kebanyakannya Demokrat, berbual sesama mereka.

Selain memilih presiden seterusnya, pengundi juga akan mengundi dalam pilihan raya tempatan dan negeri.

Menyusuli kempen pilihan raya yang rancak, menyaksikan Biden menarik diri untuk digantikan Harris, dua percubaan membunuh Trump dan debat televisyen yang menggegarkan menjadi pertaruhan tinggi bagi kedua-dua calon.

Namun, satu perkara nampaknya menyatukan rakyat AS baik Demokrat atau Republikan, sama ada mereka menyokong Harris atau Trump, sebaik sahaja mereka mengundi, mereka dengan bangganya menerima dan memakai pelekat ‘Saya telah mengundi’ di dada masing-masing. – AGENSI

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.