Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Pertandingan selfie, wefie dan video pendek

0

FB_IMG_1461740509276KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia): — Datu Rosmandi Sulai membisikkan berita baik kepada komuniti ‘Y’ di negeri ini, apabila membuka pintu kepada mereka untuk menyertai pertandingan selfie, wefie dan video pendek sempena sambutan Hari Wanita 2016 peringkat negeri Sabah.

“Kita buka pertandingan ini kepada orang ramai,” umumnya kepada pengamal media di sini pada Isnin.

Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Sabah (SCB) itu berkata, tujuan pertandingan itu menjurus kepada meneroka perspektif mengenai jantina dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda..

“Selama ini, kita mendengar dan melihat isu jantina hanya daripada sudut pandangan orang dewasa,” katanya dan menambah, masyarakat umum sangat berminat untuk mengetahui apa yang difikirkan dan difahami oleh komuniti muda tentang topik jentina.

“Apa yang kita perlukan ialah pendapat, nilai dan kepercayaan mereka,” katanya.

Rosmandi berkata, dapatan daripada mereka akan membantu kerajaan dalam membentuk dasar berkaitan wanita serta proses yang terlibat.

Pertandingan foto dan video selama lima minit itu, yang mengunakan bahasa utama di negara ini serta bahasa etnik Sabah, dianjurkan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan SCB.

Ia terbuka kepada rakyat Sabah daripada semua peringkat usia dan penyertaan boleh dihantar dari mana sahaja di dunia.

Peserta antara lain dikehendaki menyampaikan melalui karya mereka mesej berkaitan jantina dan peranannya di tempat kerja, dalam keluarga dan masyarakat dengan berlatarbelakangkan suasana kasih sayang dan harmoni.

Peserta juga disyaratkan membawa mesej menentang keganasan terhadap wanita, kanak-kanak dan orang kelainan upaya.

Pengumuman Rosmandi itu diperkuatkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Media MPWS Hanna Wong Abdullah, yang menerangan perincian pemilihan jantina sebagai tema sambutan Hari Wanita tahun ini bagi tujuan menjalin hubungan dengan golongan muda serta mendapatkan pandangan mereka tentang jantina.

Katanya, tahap kesedaran tentang jantina dan kesaksamaan jantina masih begitu rendah dalam kalangan orang ramai di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa MPWS Baiyah Ag Mahmon pula menggalakkan lebih banyak lelaki menyertai pertandingan itu kerana mereka turut berperanan dalam memperjuang isu wanita.

Prebiu 40 penyertaan yang disenarai pendek akan diadakan pada 20 Ogos di SCB manakala majlis penyampaian hadiah diadakan pada sambutan Hari Wanita di Keningau pada 27 Ogos depan yang dijadual dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Hadiah yang bernilai diantara RM300 dan RM3,000 serta sijil telah pun disediakan kepada pemenang-pemenang pertandingan. – Oleh: DG HENRY.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.