Pesilat Bertarung Di Jawa Timur
Rumah rosak dan penduduk ketakutan akibat terkena lemparan batu sekumpulan pesilat
JAKARTA: Puluhan rumah rosak dan penduduk ketakutan akibat terkena lemparan batu daripada sekumpulan pesilat yang beradu tenaga di Nganjuk di Jawa Timur kelmarin.
Seperti yang dilaporkan Detik Jatim, pertarungan yang berlaku di hadapan pintu masuk ke Kampung Nglundo di daerah Sukomoro itu turut dirakam dan video kejadian itu tersebar di aplikasi sembang WhatsApp.
Ketua Kampung Nglundo, Muhammad Anshori berkata, insiden pertarungan antara sekumpulan pesilat itu berlaku awal pagi kelmarin.
“Betul apa yang berlaku pagi itu. Aksi melontar batu terjadi pada waktu subuh ketika pesilat-pesilat itu bertarung seakan berperang. Penduduk berdekatan ketakutan kerana puluhan lemparan seakan hujan batu,” katanya.
Menurut Muhammad, insiden berkenaan turut mengakibatkan beberapa penduduk cedera.
“Ada yang cedera tetapi ringan. Kemudian ada juga berpuluh-puluh rumah rosak akibat dibaling batu-batu besar. Jubin bumbung, kaca, meja dan kerusi di kawasan rumah berhampiran habis rosak.
“Pergaduhan yang diwarnai dengan aksi membaling batu antara satu sama lain itu amat tegang. Tindakan itu menakutkan wanita dan kanak-kanak yang menyaksikannya menyebabkan mereka mula menjerit,” katanya.
Muhamdad bersyukur pegawai tentera dan polis segera bertindak memisahkan mereka yang terlibat dalam pergaduhan itu dan meredakan keadaan.