JURULATIH Vietnam, Park Hang Seo lebih gemar menonton aksi perlawanan antara Indonesia dan Kemboja berbanding Malaysia menentang Laos dalam Kumpulan B Piala AFF 2021.
CNN Indonesia melaporkan, Vietnam akan menentang Malaysia dalam perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Bishan, Ahad ini.
Untuk mengetahui kekuatan Malaysia, Hang Seo sepatutnya perlu menonton perlawanan Harimau Malaya vs Laos Tiger.
Bagaimanapun, dipetik daripada media Vietnam, Lao Dong, jurulatih Korea Selatan itu memutuskan untuk menonton perlawanan Indonesia vs Kemboja.
Bagi perlawanan Malaysia vs Laos pula, Hang Seo menghantar seorang lagi pembantu untuk memantau.
Indonesia dan Kemboja adalah dua lagi lawan yang perlu dihadapi Golden Star Warriors selepas bertemu Malaysia pada hari perlawanan kedua dalam Kumpulan B.
Dalam laporan Lao Dong menyatakan perlawanan menentang Malaysia dan Indonesia bakal menentukan nasib Vietnam ke separuh akhir.
Justeru, pemantauan dan analisis tindakan Pasukan Merah Putih amat penting buat pasukan bimbingan Vietnam.
Setakat ini, Vietnam hanya bermain satu perlawanan dan berada di tangga ketiga Kumpulan B dengan mengutip tiga mata.