Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Projek KKDW Untuk Sabah dilaksanakan lebih teratur dan cepat – Hajiji

0

KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia): Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin program dan projek pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk Sabah akan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan cepat.

Katanya, Sabah merupakan antara negeri terbesar di Malaysia sangat memerlukan sokongan dan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan kemudahan infrastruktur asas dan utiliti seperti bekalan air, eletrik, jalan luar bandar, liputan komunikasi dan lain-lain.

“Kemudahan infrastruktur asas dan utiliti tersebut amat diperlukan oleh Sabah memandangkan negeri ini agak ketinggalan dalam aspek berkenaan khususnya di kawasan luar bandar”.

“Inisiatif turun padang oleh pihak KKDW yang diketuai sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memastikan program dan projek KKDW untuk Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan cepat”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Penyelarasan KKDW Bersama Kerajaan Sabah Tahun 2023 dipengerusikannya bersama Ahmad Zahid Hamidi di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, Rabu.

Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr.Joachim Gunsalam (Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri), Datuk Ir. Shahelmey Bin Yahya (Menteri Kerja Raya Negeri), Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Ketua Setiausaha KKDW, Dato’ Sri Ramlan bin Dato’ Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr.Haji Safar Untong.

Hajiji yang mengalu-alukan Mesyuarat Penyelarasan itu yang julung-julung kali diadakan berkata, ia dapat memperkukuhkan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Kementerian dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program-program pembangunan KKDW di Negeri Sabah.

Katanya, Kerajaan Negeri menyambut baik syor daripada Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat, bahawa projek-projek Persekutuan yang bernilai RM50 juta ke bawah, Kerajaan Negeri bertanggungjawab melaksanakannya dengan menggunakan kepakaran tempatan serta dipantau oleh kementerian yang berkenaan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama kepada Kerajaan Pusat khususnya KKDW dalam hal-hal berkaitan pembangunan agar projek-projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat dapat dipercepatkan pelaksanaannya.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.