Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Proses bawa keluar penduduk Gaza cedera terlalu perlahan

0

GAZA: Lebih 20,000 penduduk Gaza yang cedera dengan sebahagiannya kritikal masih terkandas di wilayah bergolak itu, biarpun proses membawa keluar warga asing dan golongan berisiko ke Mesir sudah dimulakan.

Menurut Doctors Without Borders, hanya sebilangan kecil penduduk Gaza yang cedera parah dibawa keluar ke Mesir menerusi lintasan Rafah.

“Proses membawa keluar penduduk yang cedera ini perlu dilakukan segera atau mereka hanya menghembuskan nafas terakhir di Gaza.

“Boleh dikatakan semua yang cedera mengalami luka atau kesan melecur yang teruk, jika tidak dirawat sewajarnya, boleh menyebabkan jangkitan kuman dan jika serius, boleh membawa maut.

“Akses kesihatan di Gaza ketika ini amat terhad dan disebabkan itu kami mendesak supaya proses pemindahan golongan yang memerlukan itu dilakukan secepat mungkin,” kata agensi itu menerusi kenyataan.

Selain itu, agensi berkenaan juga memaklumkan 22 petugas antarabangsanya di Gaza merupakan antara yang meninggalkan wilayah ini menggunakan lintasan Rafah.

Jelas agensi itu, petugas rakyat Palestin masih memberikan khidmat kepada semua penduduk yang cedera buat masa ini.

Satu lagi pasukan antarabangsa juga menunggu untuk masuk ke Gaza bagi menggantikan petugas yang sudah keluar ke Mesir.

Dalam pada itu, Doctors Without Borders turut mendesak supaya gencatan senjata dilakukan segera bagi membolehkan petugas perubatan merawat mangsa dengan lancar.

Jelas agensi itu, pengeboman tentera Israel yang tidak dijangka menyebabkan jumlah mangsa cedera terus meningkat sedangkan akses rawatan amat terhad.

“Mana-mana penduduk Gaza yang mendapat akses menerima rawatan di Mesir juga perlu dibenarkan pulang semula ke rumah mereka selepas keadaan reda,” menurut agensi itu.

Sehingga kini, lebih 70 penduduk Gaza yang cedera dan sakit tenat dipindahkan ke Mesir, namun jumlah itu terlalu sedikit.

Serangan bertalu-talu oleh Zionis menyaksikan 8,796 penduduk Gaza terbunuh sejak 7 Oktober lalu. – AFP

 

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.