GAZA: Tentera penceroboh Israel kelmarin mengebom sebuah sekolah Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di kawasan al-Saftawi, di utara Semenanjung Gaza.
Kemudahan itu sebelum ini menjadi tempat perlindungan ribuan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal akibat konflik di Gaza.
Agensi Berita Palestin WAFA melaporkan, pesawat pejuang Israel mengebom Sekolah Osama Bin Zaid, menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan cedera.
Rakaman video dan foto menunjukkansejumlah mayat mangsa berkecai akibat serangan udara itu.
Menurut beberapa sumber tempatan, tentera Zionis sememangnya menyasarkan sekolah itu, ketika ribuan orang berada di dalam bangunan berkenaan.
Terdahulu, sekurang-kurang 15 maut dan 60 lagi cedera akibat serangan udara dilancarkan Israel ke arah ambulans yang membawa pesakit dari utara Gaza.
Menurut tentera Zionis, ambulans itu dikenal pasti digunakan oleh pejuang Hamas untuk bergerak, selain membawa bekalan senjata.
Pegawai Hamas, Izzat El Reshiq bagaimanapun menegaskan tuduhan itu ‘tidak berasas’, manakala jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, Ashraf al-Qidra pula memaklumkan ambulans terbabit adalah sebahagian daripada konvoi berhampiran Hospital Al-Shifa di Gaza City dan menjadi sasaran rejim Zionis.
Ashraf mendakwa, Israel menyasarkan konvoi ambulans di lebih daripada satu lokasi, termasuk di kawasan pagar Hospital Al-Shifa dan Dataran Ansar yang terletak dalam jarak kira-kira satu kilometer.
Dalam kenyataannya berhubung kejadian itu, tentera rejim Zionis tidak memberikan bukti untuk menyokong tuduhannya yang mengaitkan ambulans terbabit dengan Hamas, sebaliknya sekadar memaklumkan hasrat untuk mengeluarkan maklumat tambahan.
Rakaman video dikongsikan dalam media sosial, yang dapat disahkan Reuters, menunjukkan sejumlah mangsa terbaring berdekatan sebuah ambulans dengan orang ramai bergegas memberikan bantuan.