KOUROU: Roket Vega-C milik Eropah dilaporkan hilang sejurus dilancarkan dari tapak pelancaran di Guiana Perancis.
Dilaporkan, roket itu membawa dua unit satelit Airbus bersamanya.
Roket itu cuba membawa dua satelit pemantau bumi dibangunkan Airbus ke orbit, bagi menyertai rangkaian sedia ada yang mampu merakam imej berkualiti tinggi dari mana-mana titik di dunia selama beberapa kali sehari.
Ia akan menjadi pelancaran komersial pertama roket itu sekiranya berjaya, sejak perjalanan sulungnya pada 13 Julai.
“Roket tersebut didapati hilang dan tidak dapat kesan,” kata ketua penyedia perkhidmatan pelancaran komersial Arianespace, Stephane Israel.
Israel berkata demikian dari Pusat Angkasa Kourou di Guiana Perancis.
Menurut beliau, kira-kira 10 minit selepas pelancaran iaitu pada pukul 10.47 pm (waktu tempatan), trajektori pelancar itu menyimpang daripada laluan asal yang diprogramkan dan hubungan komunikasi terputus.
Sementara itu, syarikat Arianespace dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengesan kesilapan pada peringkat kedua pelancar sekali gus menamatkan misi Vega-C.
“Analisis data sedang dilaksanakan bagi mengetahui punca kegagalan misi ini,” jelasnya.
Bagaimanapun, syarikat itu menjelaskan tiada serpihan jatuh kembali ke bumi selepas kehilangan roket berkenaan.
Misi itu sebenarnya dijadualkan pada 24 November lalu, namun ia terpaksa ditangguhkan selama sebulan kerana wujudnya kesilapan semasa pelancaran. – AFP