Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Russia dakwa musnahkan kapal peninjau Ukraine di Laut Hitam

0

MOSCOW: Kementerian Pertahanan Russia memaklumkan pasukan tenteranya berjaya memusnahkan sebuah kapal peninjau milik Ukraine di Laut Hitam.

Ia merupakan pertempuran baharu di perairan itu sejak Moscow menarik diri daripada perjanjian eksport bijirin utama.

Serangan kedua-dua negara itu semakin meningkat di Laut Hitam sejak Russia menarik diri daripada perjanjian diuruskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membenarkan Ukraine mengeksport bijirin melalui Laut Hitam ke bahagian dunia yang bergelut dengan kebuluran.

Russia berulang kali membedil infrastruktur pelabuhan Ukraine di laut dan Danube manakala tentera Kyiv pula menyerang kapal Moscow di perairannya dan Semenanjung Crimea.

Menurut kementerian pertahanan, sebuah jet pejuang Sukhoi dikendalikan tentera Moscow memusnahkan kapal terbabit yang berada berhampiran fasiliti pengeluaran gas Russia.

“Kru tentera laut Sukhoi SU-30SM Armada Laut Hitam berjaya memusnahkan kapal peninjau angkatan bersenjata Ukraine di kawasan kemudahan pengeluaran gas Russia di Laut Hitam,” jelasnya menerusi aplikasi Telegram.

Bagaimanapun, kementerian itu tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai jenis kapal yang dimusnahkan dan lokasi sebenar kejadian itu berlaku.

Semalam, kementerian memaklumkan pasukan tenteranya berjaya menembak jatuh dua dron milik Ukraine di Laut Hitam, kira-kira 40 kilometer (km) barat laut semenanjung Crimea.

Pada awal bulan ini, sebuah kapal tangki Russia rosak dalam serangan dron Ukraine di Selat Kerch, sekali gus menghalang laluan di jambatan strategik yang menghubungan Crimea ke Russia.

Terdahulu, pihak berkuasa Russia memaklumkan Moscow menjadi sasaran serangan dron Ukraine untuk lima malam secara berturut-turut.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Datuk Bandar Sergei Sobyanin menerusi aplikasi Telegram memaklumkan pasukan pertahanan udara berjaya menggagalkan serangan dron masing-masing di kawasan Krasnogorsk dan Chastsy. – AFP

 

 190 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.