DUA pemimpin Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) daerah menyuarakan sokongan terhadap saranan supaya Sabah FC melakukan rombakan besar-besaran dalam pengurusannya bagi membolehkan kelab profesional itu mampu menyerlah dalam kancah bolasepak tanah air terutama dalam Liga Bolasepak Malaysia.
Timbalan Presiden SAFA daerah Sipitang, Andrew Laban, berkata pihaknya menyokong saranan Persatuan Bekas Pemain Negeri, Datuk James Wong supaya Sabah FC melakukan rombakan dalam pasukan berikutan prestasi kurang memberangsangkan dalam saingan Liga Super musim ini.
Katanya, apa yang disuarakan bekas pemain legenda itu seharusnya dijadikan panduan dan ikhtibar kelab berkenaan dalam mengurus tabir pasukan secara lebih profesional agar mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain.
“Sebagai bekas bintang bolasepak yang berpengalaman, pandangan dan input yang diberikan James itu, sepatutnya kita hargai kerana baik untuk panduan dalam memajukan sesebuah kelab bolasepak,” katanya ketika dihubungi di sini.
Semalam, bekas pemain skuad olimpik negara itu membuat gesaan agar Sabah FC melakukan rpmbakan besar-besaran dalam pasukan membabitkan pengurusan dan pemainnya.
Katanya, kelab itu mesti mengambil peluang terhadap pelantikan ketua jurulatih baharunya, Datuk Ong Kim Swee dengan membuat pembaharuan dan pendekatan yang lebih berkesan dalam pasukan.
Sementara itu, Timbalan Presiden SAFA daerah Kuala Penyu, Fredolin Penggo berpendapat sudah tiba masanya Sabah FC dikendalikan secara profesional oleh mereka yang berpengalaman dalam pengurusan sukan bolasepak.
Katanya, selain faktor pemain, pengurusan yang sesuai seharusnya diberi penekanan oleh Pengarah kelab itu, Datuk Dr Jelani Hamdan bagi membolehkan Sabah FC dapat meningkatkan prestasi daripada situasi yang ada sekarang.
“Dengan mempunyai khidmat jurulatih yang berwibawa seperti Datuk Ong Kim Swee maka pegawai-pegawai yang terlibat dalam pengurusan kelab seharusnya menyumbang terhadap pencapaian pasukan dan bukan sebaliknya yang sering dipersoalkan peminat-peminat boalaepak,” tegasnya.
Fredolin berkata, pada masa yang sama, Sabah FC perlu memberi peluang kepada pemain-pemain muda yang berbakat dari skuad Piala Presiden dan Piala Belia untuk naik ke skuad senior.
Katanya, jurulatih skuad muda terbabit sudah tentu dapat mengenal pasti pemain-pemain muda berpotensi yang boleh diberi peluang menganggotai Sabah FC.
“Saya fikir kita tidak ketandusan pemain-pemain muda berbakat dan bertenaga yang sepatutnya diberi peluang seluas-luasnya untuk membuktikan keupayaan mereka dalam pasukan senior,” ujar beliau.
Timbalan Presiden SAFA Kuala Penyu itu yakin dengan kehadiran Kim Swee dalam pasukan pastinya akan dapat membantu pasukan lebih menyerlah dalam saingan Liga Super musim depan.
Bagaimanapun, katanya, jurulatih itu masih boleh merancang sesuatu yang boleh membantu pasukan menghadapi saingan dalam pertandingan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula lewat bulan ini.
Sabah FC yang menduduki tangga kesembilan dalam Liga Super adalah antara 16 pasukan yang akan bertarung dalam Piala Malaysia. – Oleh: EKOK AMIN