KOTA BELUD (Sabah, Malaysia) 2 September 2025 — Kerajaan MADANI sekali lagi membuktikan keprihatinannya terhadap pembangunan akar umbi apabila menyalurkan peruntukan besar berjumlah RM1.32 juta di bawah program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) kepada 14 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta persatuan di DUN Kadamaian.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, inisiatif SejaTi MADANI bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya strategi menyeluruh kerajaan Persekutuan untuk memperkasa ekonomi desa secara mampan.
“Melalui SejaTi MADANI, setiap kampung dan persatuan boleh menerima dana sehingga RM100,000. Di Kadamaian, peruntukan diagihkan antara RM49,000 hingga RM100,000 bagi melaksanakan pelbagai projek ekonomi seperti pemprosesan baja ternakan, ternakan ayam pedaging dan ikan air tawar, penanaman cili fertigasi, pembuatan kerepek, kraftangan, jahitan pakaian, agro-farm dan juga perkhidmatan urutan tradisional,” katanya.
Antara kampung penerima manfaat ialah Kg Purak Ogis, Kg Melangkap Noriou, Kg Podos, Kg Taginambur Jaya, Kg Tintapon, Kg Pangi, Kg Gensurai, Kg Kiau Nuluh, Kg Gandukut, Kg Mangkulat dan Kg Penampatan Wariu. Tiga persatuan turut tersenarai iaitu Persatuan Pembangunan Identiti Dusun Tindal Kota Belud, Persatuan Penduduk Kg Piasau dan Persatuan Penduduk Kg Gensurai.
Ewon berkata, beliau sendiri meluangkan masa sehari suntuk bersama Unit Penyelarasan Pembangunan (ICU), Pejabat Daerah Kadamaian dan UPPM Kadamaian bagi meninjau projek-projek yang sedang dijalankan.
“Saya berbangga kerana komuniti Kadamaian memanfaatkan peruntukan SejaTi MADANI dengan penuh kreativiti. Saya mahu dana ini menjadi pemangkin transformasi ekonomi desa dan model kepada kampung-kampung lain.
“Permohonan baharu terus diterima selepas taklimat awal tahun ini, dan ia menunjukkan semangat rakyat untuk bergerak bersama menjayakan SejaTi MADANI. Saya juga komited memastikan aspek penting seperti penyukatan tanah dan pembangunan infrastruktur desa diberi perhatian kerana inilah game changer kepada masa depan ekonomi Kadamaian,” tegasnya.
Dengan penyaluran dana berjumlah RM1.32 juta ini, Kadamaian kini bukan sekadar menerima bantuan pembangunan, tetapi sedang membina landasan baharu untuk muncul sebagai contoh transformasi ekonomi desa di Sabah — seiring visi Kerajaan MADANI yang prihatin dan berpaksikan rakyat.
![]()