Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Skandal perbankan terbesar Vietnam libatkan penggelapan duit AS$12.4 bilion

0

SAIGON: Vietnam berdepan skandal perbankan terbesar selepas seorang pemaju hartanah, Truong My Lan yang didakwa menggelapkan wang sebanyak AS$12.4 bilion (RM57.9 bilion), ditahan baru-baru ini.

Pada 17 November lalu, Kementerian Keselamatan Awam Vietnam mendakwa Truong, 79, yang juga pengerusi Van Thinh Phat Group kerana menyeleweng dana Saigon Commercial Bank (SCB).

Wanita itu merupakan pemegang kepentingan majoriti di institusi kewangan itu.

Selama beberapa tahun, Truong didakwa mengendalikan lebih 1,000 anak syarikat dan syarikat pesisir domestik dan asing, dan memperoleh lebih AS$43 bilion (RM200.7 bilion) pinjaman daripada SCB.

Memetik laporan portal berita NETSHARK, kira-kira satu pertiga daripada jumlah berkenaan didakwa diselewengkan melalui kewujudan ‘syarikat hantu’ oleh Truong, keluarga dan sekutunya.

Skandal itu sekali gus mendedahkan kelemahan dalam sistem perbankan Vietnam, gesaan amalan profesional yang lebih baik, peraturan yang lebih ketat dan mekanisme pemeriksaan yang dipertingkatkan untuk mencegah penyalahgunaan kuasa.

Parti Komunis Vietnam yang memerintah sebelum ini menjalankan kempen antirasuah sejak 2016 yang mengakibatkan penyingkiran pegawai tertinggi.

Dalam skandal terbaru itu, Kementerian Keselamatan Awam sudah mengesyorkan pendakwaan terhadap 85 individu termasuklah pegawai kerajaan dan rakan sekutu Kumpulan Van Thinh Phat dan SCB.

Jawatankuasa Hal Ehwal Dalam Negeri Parti Komunis turut meminta siasatan terhadap 23 pegawai negeri, termasuk 12 individu daripada Bank Negara Vietnam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong turut menggesa pihak berkuasa untuk mempercepat dan meningkatkan lagi usaha pencegahan rasuah.

“Kami tidak akan berhenti di sini, tetapi ia akan berterusan untuk jangka panjang,” katanya.

 84 total views,  2 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.