Oleh Mohd Khairy Abdullah
SIPITANG (Sabah, Malaysia), 13 Dis 2025 – “SOGIP akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah dan agenda Sabah First,” tegas Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick. Beliau yakin Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) mampu merancakkan ekonomi negeri melalui pelaburan strategik, penciptaan peluang pekerjaan, dan peningkatan pendapatan rakyat Sabah.
Beliau, yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata berdasarkan taklimat Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC), 90 peratus daripada kawasan SOGIP telah dikomitmenkan kepada pelaburan berstatus kelulusan, menandakan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri.
“Ini bukti jelas bahawa SOGIP menjadi tumpuan pelaburan berimpak tinggi. Saya yakin taman perindustrian ini bukan sahaja akan menyumbang hasil kepada Kerajaan Negeri, malah membuka peluang pekerjaan besar kepada rakyat Sabah, khususnya graduan tempatan dan penduduk Sipitang,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat SOGDC di SOGIP hari ini.
Lawatan berkenaan bertujuan meninjau perkembangan projek industri minyak dan gas yang diurus SOGDC, selari dengan visi kementerian memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab industri strategik di rantau ini. Beliau yakin beberapa pelaburan yang diluluskan akan memulakan projek masing-masing pada awal tahun hadapan, seterusnya mengukuhkan kedudukan SOGIP sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negeri.
“Pelaburan dan perusahaan berimpak tinggi di SOGIP akan terus menyumbang kepada pembangunan rakyat berpendapatan. Saya berharap pasukan Sabah First di SOGDC diperkasakan bagi menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada semua pemegang taruh, sekaligus merealisasikan unjuran pulangan dividen kepada Kerajaan Negeri Sabah,” tegas beliau.
Dalam lawatan tersebut, Ewon menyempurnakan upacara pecah tanah Fasiliti Pengurusan Sisa Terjadual oleh E-Concern Borneo, melibatkan pelaburan berjumlah RM1.1 bilion, dijalankan secara berfasa. Beliau juga meninjau pelaksanaan pelaburan Esteel bernilai RM31 bilion, antara pelaburan industri terbesar di Sabah, termasuk projek jeti persendirian Esteel yang menjadi komponen kritikal dalam rantaian industri syarikat itu.
Lawatan turut merangkumi projek PFLNG 3, pembinaan Sipitang Utilities, serta operasi PETRONAS Chemicals Fertiliser (SAMUR). Ewon juga meninjau projek MOLF oleh SOGIP Port Sdn. Bhd. dan Petroventure Energy Sdn. Bhd., lengkap dengan taklimat oleh ketua pegawai eksekutif masing-masing.
“Keyakinan saya bahawa SOGDC akan terus menjadi pemacu pembangunan rakyat Sabah berpendapatan melalui pelaburan berimpak tinggi di SOGIP kekal utuh. Pasukan Sabah First di SOGDC perlu diperkasakan bagi memastikan perkhidmatan terbaik kepada pemegang taruh dan pulangan mampan kepada Kerajaan Negeri,” kata beliau mengakhiri lawatan.
![]()