Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sabah komited perkasa keterusan niaga penjaja STC Likas sepanjang Ramadan

0

Oleh: Mohd Khairy Abdullah

EWON

KOTA KINABALU (Sabah), 20 Feb 2026 — Sumbangan kanopi kepada 30 penjaja di Sabah Trade Centre (STC), Likas, yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, memberi impak besar kepada peniaga di kawasan itu untuk mencari rezeki secara lebih teratur, selesa dan berdaya maju sepanjang Bazaar Ramadan yang bermula Rabu, 19 Feb.

Ewon menegaskan kerajaan negeri kekal konsisten memperkukuh sektor usahawan kecil dan mikro sebagai komponen penting rantaian ekonomi Sabah — bukan sekadar pelengkap kepada pelaburan industri berskala besar.

“Bazaar Ramadan STC ialah platform sebenar menjana pendapatan rakyat. Ia memperkukuh ekosistem keusahawanan kecil dan memastikan peluang ekonomi terus sampai ke peringkat akar umbi,” katanya selepas merasmikan tapak bazaar dan menyampaikan kanopi kepada ahli Persatuan Usahawan Penjaja dan Peniaga Kecil Kota Kinabalu (PUPPKKK) di sini.

Mengenai masa depan STC, beliau berkata beberapa cadangan pembangunan semula telah diterima dan sedang diteliti secara menyeluruh sebelum dibawa ke pertimbangan Kabinet Negeri Sabah bagi keputusan muktamad.

Dalam tempoh interim, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) selaku pemilik tanah memeterai perjanjian dengan POIC Sabah, agensi di bawah kementerian, untuk menyelenggara dan mengurus STC serta kawasan sekitarnya sehingga pelan pembangunan diputuskan.

Persatuan Usahawan Penjaja dan Peniaga Kecil Kota Kinabalu (PUPPKKK) turut diberi kebenaran menganjurkan bazaar dan aktiviti perniagaan malam di zon parkir terpilih tanpa menjejaskan kemudahan tempat letak kereta penjawat awam serta pengguna premis berhampiran pada waktu siang — pendekatan seimbang antara keperluan ekonomi rakyat dan fungsi bandar.

Ewon turut menekankan keperluan segera menaik taraf kemudahan asas di kawasan itu, termasuk pembaikan jalan, laluan pejalan kaki dan penyelenggaraan parkir, bagi menjamin keselamatan, keselesaan serta daya tarikan pengunjung.

Turut hadir Setiausaha Tetap kementerian Datuk Thomas Logijin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan POIC Datuk Fredian Gan, Pengarah DIDR Siti Nur’ain Abdullah dan Pengerusi PUPPKKK Ramzih Ruzin.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.