
Oleh Mohd Khairy Abdullah
KOTA KINABALU, 28 Sept 2026 — SEDCO Communications Sdn. Bhd. (SCOMM) perlu memperluas peranannya dalam pembangunan infrastruktur digital Sabah melalui kerjasama strategik dengan syarikat telekomunikasi, pemilik premis dan sektor swasta, kata Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick.
Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata SCOMM sebagai syarikat berkaitan kerajaan negeri di bawah Kumpulan SEDCO mempunyai ruang untuk membantu menterjemahkan agenda pembangunan digital Sabah kepada infrastruktur yang boleh dimanfaatkan rakyat dan sektor perniagaan.
“Ini termasuk pembangunan rangkaian gentian optik, peningkatan liputan di dalam bangunan, sambungan rangkaian utama dan kemudahan telekomunikasi lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik SCOMM di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Isnin.
Ewon berkata kerjasama SCOMM dengan SICC, ITCC Penampang, Hyatt dan U Mobile memperlihatkan potensi kerjasama antara syarikat berkaitan kerajaan dan pemain industri dalam memperkukuh ketersambungan digital di lokasi strategik.
SICC, katanya, merupakan antara lokasi penting bagi persidangan dan acara antarabangsa, manakala ITCC Penampang menjadi tumpuan kegiatan perniagaan dan komuniti. Kemudahan hotel seperti Hyatt pula menyokong industri pelancongan Sabah.
“Liputan dalaman yang lebih baik, termasuk 5G apabila dilaksanakan, akan membantu memenuhi keperluan pengunjung, penganjur acara, peniaga dan pengusaha pelancongan.
“Pada masa yang sama, infrastruktur telekomunikasi yang boleh diharapkan membantu syarikat beroperasi dengan lebih cekap dan menambah daya tarikan Sabah kepada pelabur,” katanya.
Beliau berkata pengukuhan infrastruktur digital juga penting bagi menyokong agenda pendigitalan dan kecerdasan buatan di bawah Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
Menurut Ewon, agenda berkenaan perlu memberi manfaat bukan sahaja kepada syarikat besar dan pusat komersial, tetapi juga kepada perusahaan kecil dan sederhana di seluruh negeri.
Antara manfaat yang boleh dimanfaatkan usahawan, katanya, ialah pembayaran tanpa tunai, pemasaran dalam talian dan penggunaan aplikasi berasaskan awan bagi mengurus operasi perniagaan.
“Jurang ketersambungan masih perlu ditangani supaya lebih ramai rakyat mendapat peluang daripada ekonomi digital,” katanya.
Ewon berkata kerjasama yang bermula di beberapa lokasi komersial utama itu boleh dijadikan asas untuk memperluas kemudahan digital secara berperingkat ke daerah dan komuniti lain di Sabah.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan infrastruktur digital perlu mewujudkan peluang kepada tenaga profesional dan syarikat tempatan, termasuk jurutera, juruteknik, kontraktor serta firma teknologi.
Pada masa sama, katanya, projek yang dilaksanakan SCOMM perlu mempunyai asas perniagaan yang kukuh selain menyokong keutamaan pembangunan negeri.
Majlis itu disaksikan Ewon, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) Datuk Masiung Banah, Pengarah Perniagaan Antarabangsa SEDCO Communications (SCOMM) Dato’ Seri Mossco Woo dan Pengerusi SCOMM Ruhaizul Rubin.
Dokumen kerjasama ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SCOMM Subha Maraiah; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Datuk Dr Hajah Rosmawati Haji Lasuki; Pengurus Besar ITCC Penampang Benjamin Malakun; Ketua Program Rangkaian dan Pelaksanaan U Mobile Jaime Chee; serta Pengurus Sistem Maklumat Hyatt Regency Kinabalu Rendy Richard.
![]()