Oleh Mohd Khairy Abdullah
KOTA KINABALU (Malaysia), 7 Feb 2026 — Kerajaan Sabah menggesa lebih banyak syarikat tempatan meningkatkan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa bagi memperkukuh daya saing dan memperluas akses ke pasaran global.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, pematuhan standard global merupakan keperluan asas bagi membolehkan produk dan perkhidmatan dari Sabah menembusi pasaran antarabangsa, termasuk Singapura.
Menurut data Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) Singapura sehingga Disember 2025, hanya 261 syarikat dari Sabah berdaftar daripada 12,742 syarikat Malaysia.
“Angka ini menuntut usaha berskala besar dan berfokus untuk membangunkan produk dan perkhidmatan syarikat tempatan agar memenuhi kehendak serta piawaian pasaran antarabangsa,” katanya.
Ewon berkata, antara keutamaan kementeriannya ialah memperkukuh standard dan kualiti produk serta perkhidmatan usahawan Sabah melalui pematuhan kepada pensijilan antarabangsa seperti Halal, MESTI dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS), di sini, semalam.
Menurutnya, kementerian akan terus menyokong usahawan dan syarikat tempatan melalui dasar dan inisiatif bersasar, termasuk bantuan untuk membawa produk dan perkhidmatan ke pasaran antarabangsa.
Beliau turut menekankan kepentingan pembungkusan sebagai elemen strategik pemasaran global, sambil menyatakan bahawa bimbingan kementerian telah menunjukkan peningkatan ketara dari segi kualiti pembungkusan dan prestasi jualan peserta program.
Selaras dengan aspirasi Wawasan Sabah First, Ewon berkata penskalaan perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) menjadi fokus utama kementerian, dengan penekanan kepada peningkatan kapasiti pengeluaran serta pemerkasaan kualiti dan standard.
Mengenai AKIS, beliau berkata pengiktirafan tersebut diharap menjadi pemangkin kepada penerima anugerah dan syarikat lain untuk terus memperkukuh inovasi dan daya saing global, sejajar dengan aspirasi menjadikan Sabah sebuah negeri perindustrian menjelang 2040.
![]()