Oleh DG HENRY
TABS SAFA Bandaraya akan menghantar sembilan pasukan untuk mengambil bahagian dalam Liga Suparimau di sini pada 18 Jun ini.
Liga itu dijadualkan berlangsung minggu ini namun terpaksa ditunda ke minggu depan bagi memberi peluang pasukan lain mengesahkan penyertaan.
Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata TABS akan menyertai pelbagai katgeori umur yang dipertandingkan termasuk B10, B12, B14, B16 dan pasukan perempuan B17 tahun.
Katanya, semua pasukan mereka sedang melakukan persiapan dan menjalani latihan ketika ini di bawah jurulatih masing-masing.
“Kita menjangka persaingan sengit dari pasukan-pasukan yang mengambil bahagian namun kita sudah bersedia menghadapi cabaran dalam liga tersebut,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pengurus-pengurus dan jurulatih TABS, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA turut menyampaikan surat pelantikan kepada semua pengurus pasukan yang terlibat.
Menurut Lokman, Liga Suparimau adalah julung kalinya diadakan di Sabah memandangkan sebelum ini liga itu hanya dianjurkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kuala Lumpur.
“Kita berharap TABS akan melakukan yang terbaik dalam liga berkenaan dan pada masa yang sama meminta pemain-pemain yang terpilih dalam pasukan masing-masing menunjukkan prestasi dan kualiti permainan mereka nanti,” katanya.
Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada ketua jurulatih, Matasan Ahmad dan penolongnya, Roslan Wasli kerana membantu jurulatih yang terlibat dapat menyediakan pasukan menghadapi liga berkenaan.
Katanya, selepas latihan pelatih-pelatih TABS terjejas sepanjang pandemik Covid 19 selama dua tahun memang terdapat sedikit kesukaran untuk membentuk pasukan.
Bagaimanapun dengan komitmen unit kejurulatihan, TABS mampu memilih pemain-pemain bagi menganggotai sembilan pasukan tersebut untuk bertanding dalam liga tersebut.