NEW DELHI: Mahkamah India melanjutkan tahanan reman ketua pembangkang dan Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal sehingga 1 April atas tuduhan kes rasuah berkaitan dasar arak wilayah ibu negara.
Media tempatan melaporkan agensi membanteras jenayah kewangan India menahan Kejriwal minggu lalu berhubung dakwaan rasuah berkaitan dasar arak di bandar itu dan dia ditahan reman sehingga hari ini, beberapa minggu sebelum India mula mengundi dalam pilihan raya umum pada 19 April depan.
Parti Aam Aadmi (AAP) Kejriwal berkata, kes itu adalah palsu dan bermotifkan politik.
Kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi dan Parti Bharatiya Janatanya menafikan campur tangan politik dan mengatakan agensi penguatkuasaan undang-undang menjalankan tugas mereka.
Semua pemimpin utama AAP sudah pun dipenjarakan dalam kes itu sebelum Kejriwal ditahan.
Kejriwal, 55, menyifatkan penahanannya sebagai konspirasi politik dan memberitahu pemberita di luar mahkamah pada Khamis orang ramai akan bertindak balas terhadap perkara ini.
Bercakap di mahkamah kemudian, beliau berkata Direktorat Penguatkuasaan (ED), bertanggungjawab menahannya, bertujuan untuk menghancurkan AAP.
Peguam ED memberitahu mahkamah mereka memerlukan Kejriwal dalam tahanan selama tujuh hari lagi kerana dia tidak bekerjasama dan perlu disoal siasat lebih lanjut.
Penahanan Kejriwal telah mencetuskan protes di ibu negara dan negeri berhampiran utara Punjab, yang juga ditadbir oleh AAP, sejak beberapa hari lalu.
Berpuluh-puluh penyokong AAP telah ditahan pada Selasa ketika mereka cuba berarak ke kediaman Modi untuk menuntut pembebasannya.
Beberapa pekerja AAP yang membantah dan mengedarkan risalah kepada penumpang di luar stesen metro yang sibuk di tengah Delhi turut ditahan pada Khamis.
“Inilah masanya kita berkempen (untuk pilihan raya), pemimpin kita dimasukkan ke dalam penjara, ditangkap… mereka (kerajaan persekutuan) menghalang kita daripada berkempen, (tetapi) tiada siapa boleh menghalang kita daripada menang,” kata seorang penunjuk perasaan kepada agensi berita ANI.
Perhimpunan bersama pakatan India, yang terdiri daripada lebih daripada dua dozen parti politik termasuk AAP, merancang bantahan di ibu negara pada Ahad.
Isu ini juga telah menarik perhatian antarabangsa dengan Amerika Syarikat dan Jerman menggesa perbicaraan adil dan tidak berat sebelah dalam kes itu.
Gesaan itu menyebabkan New Delhi memberitahu Washington dan Berlin bahawa proses undang-undang India adalah berdasarkan badan kehakiman yang bebas dan mereka harus menjauhkan diri daripada hal ehwal dalamannya. – REUTERS