Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Taikun kelapa sawit dihukum penjara 15 tahun, denda RM10.5b

0

JAKARTA: Mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda tertinggi berjumlah 41.9 trilion rupiah (RM12.2 bilion) ke atas taikun kelapa sawit, Surya Darmadi.

Lapor Kompas.com, pemilik syarikat Duta Palma itu menjadi individu pertama berdepan denda bagi rasuah yang ditentukan berdasarkan kerugian ekonomi dan negara selepas disabitkan dengan kesalahan rasuah, pengubahan wang haram serta pengelakan cukai.

Surya didapati menyogok pegawai di Sumatera agar membenarkan syarikatnya menanam pokok kelapa sawit tanpa permit sah di tanah seluas 36,000 hektar yang asalnya diisytihar sebagai hutan semula jadi.

Surya, 71, diarah membayar 2.2 trilion rupiah (RM645 juta) kerana menyebabkan kerugian daripada potensi cukai dan pendapatan lain yang boleh diterima pemerintah daripada syarikat perladangan dengan permit sesuai.

Ahli perniagaan itu juga diarah membayar 39.7 trilion (RM11 bilion) rupiah bagi kerugian ekonomi akibat tindakannya.

Kes Surya bermula pada 2014 apabila pihak berkuasa menemui jejak wang daripadanya kepada defendan yang menerima rasuah iaitu bekas Gabenor Riau, Annas Maamun.

Menurut pihak berkuasa, sepanjang menjadi Gabenor wilayah Riau, Annas menerima rasuah 3 bilion (RM 880.2 juta) rupiah sebagai bayaran awal bagi sokongannya menukar status hutan semula jadi seluas 18,000 hektar di Riau kepada status tanah ladang, sekali gus membenarkan syarikat Surya menanam pokok kelapa sawit.

Mahkamah juga mendapati Surya bersalah kerana meminta empat syarikatnya beroperasi di tanah ladang di Indragiri Hulu di wilayah Riau tanpa permit penuh.

Surya dilaporkan pernah berada dalam senarai Forbes 2018 sebagai orang terkaya ke-28 di Indonesia dengan nilai kekayaan bersih 20.7 trilion rupiah (RM6.2 bilion).

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.