Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Lelaki `berkurung’ 14 tahun dalam gua

0

BEIJING: Seorang lelaki di China sanggup berkurung di dalam sebuah gua selama lebih 14 tahun hanya kerana mahu mengelak daripada ditahan polis.

Ini berikutan lelaki itu pernah melakukan jenayah rompakan di sebuah stesen minyak pada tahun 2009.

Lapor Oddity Central, Liu Moufu dari sebuah kampung di Enshi City, wilayah Hubei, berusia pertengahan 30-an ketika melakukan rompakan stesen minyak bersama abang iparnya dan seorang rakan.

Kumpulan lelaki itu hanya sempat melarikan wang sebanyak 156 yuan (RM101.25) dengan 60 yuan (RM38.90) dibelanjakan untuk membeli makanan dan bunga api, manakala selebihnya 32 yuan (RM20.70) dibahagikan setiap seorang.

Ketiga-tiga individu itu kemudian membawa haluan masing-masing, namun polis berjaya menahan rakan Liu yang terbabit dalam rompakan itu.

“Liu menyedari dirinya diburu polis, jadi dia memutuskan untuk melarikan diri daripada ditangkap dan dipenjarakan.

“Lelaki itu bersembunyi di dalam hutan ketika polis menggeledah rumah dan menyoal siasat ahli keluarganya.

“Akhirnya, Liu menjadikan sebuah gua sebagai tempat berteduh. Dia juga memburu binatang dan adakala mencuri makanan seperti kentang dan daging dari kampung asalnya,” jelas laporan itu.

Menurut laporan itu, Liu sekali-sekala pergi berjumpa dengan ibu bapanya selama beberapa minit.

Meskipun, isteri dan ibu bapanya beberapa kali memintanya untuk menyerah diri, Liu sering menolak untuk melakukan demikian.

Bulan lalu, Liu akhirnya memutuskan untuk menyerah diri kepada polis.

“Saya sudah berusia lebih 50 tahun, isteri saya juga tidak sihat dan saya mempunyai cucu yang sangat cantik. Saya mahu hidup seperti biasa,” katanya.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.