Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Tentera Israel akui jumlah penduduk terbunuh di Gaza amat tinggi

0

BEERSHEBA: Israel mengesahkan sekurang-kurangnya dua penduduk Palestin terbunuh bagi setiap pejuang Hamas yang terkorban di Semenanjung Gaza.

Justeru itu, pihak tentera kini menggunakan perisian pemetaan berteknologi tinggi untuk cuba mengurangkan kematian rakyat Palestin.

Pegawai kanan Zionis juga mempertikaikan laporan media mengatakan kira-kira 5,000 pejuang Hamas terbunuh dalam perang setakat ini.

“Saya tidak menyatakan kita mempunyai nisbah dua kepada satu. Kita berharap ia (nisbah) adalah jauh lebih rendah,” kata seorang daripada pegawai.

Dia menuduh tindakan pejuang Hamas menggunakan penduduk setempat sebagai perisai manusia sebagai strateginya adalah antara punca kematian dalam kalangan penduduk Palestin begitu tinggi.

Angka kematian yang meningkat ketara dan krisis kemanusiaan yang berlaku di Gaza ketika ini mencetuskan kemarahan di seluruh dunia termasuk di negara yang secara tradisinya adalah penyokong tegar Israel.

Sekutu utama, Amerika Syarikat (AS), juga sudah memberi amaran kepada Israel supaya mengelakkan korban awam ketika operasi mula beralih ke selatan, di mana ramai penduduk Gaza mencari perlindungan selepas melarikan diri dari kawasan utara yang musnah.

Pegawai Zionis memaklumkan, tentera menggunakan perisian pemetaan berteknologi tinggi untuk mengesan pergerakan penduduk di dalam Semenanjung Gaza dan mengeluarkan arahan pemindahan mengikut keadaan.

Sistem ini menggabungkan telefon mudah alih dan isyarat lain, pengawasan udara serta arahan menggunakan bahasa tempatan, selain kecerdasan buatan (AI) untuk mengemas kini peta mengikut pergerakan penduduk.

Setiap daripada 623 sel peta menggunakan kod warna, dengan kawasan hijau yang ditetapkan di mana sekurang-kurangnya 75 peratus penduduk sudah dipindahkan.

Peta itu dikatakan oleh tentera sebagai hasil penyelidikan dan pembangunan lapan tahun – tersedia untuk komander dan unit di lapangan.

Ia digunakan untuk menyelaraskan usaha memberi amaran secara langsung melalui SMS, panggilan telefon, risalah dan pengumuman lain kepada orang awam supaya meninggalkan kawasan tertentu sebelum serangan dilancarkan.

Namun, pejabat kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu OCHA mempersoalkan penggunaan alat sedemikian di kawasan di mana akses kepada telekomunikasi dan elektrik adalah tidak menentu. – AFP

 

 337 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.