KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia), 25 Sept 2025 – Warga akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditekankan agar terus berani meneroka bidang baharu, memperkukuh jaringan industri serta menghasilkan penyelidikan yang memberi impak nyata kepada masyarakat dan negara.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, menegaskan bahawa kejayaan hanya bermakna apabila turut menyumbang kepada kecemerlangan organisasi, seterusnya mengangkat martabat UMS di persada nasional dan antarabangsa.
“UMS kini berada di persimpangan perubahan besar. Justeru, pencapaian yang diraikan hari ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya permulaan kepada cabaran baharu yang menuntut kepimpinan berwawasan, inovasi berterusan serta integriti yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kenaikan Pangkat Kakitangan Akademik UMS 2025 di Bangunan Canselori, pada Rabu.
Pada majlis tersebut, seramai 18 kakitangan akademik menerima surat tawaran ke jawatan Profesor Madya Gred DS14, Profesor Madya Perubatan Gred DU14, Pensyarah Perubatan Gred DU14, Pensyarah Kanan Gred DS13, dan Guru Bahasa Gred DG13.
Menurut Dr. Kasim, kenaikan pangkat ini adalah manifestasi kepada nilai meritokrasi yang dipegang teguh oleh UMS, di samping mencerminkan hasil kerja keras, pengorbanan masa, dan kesungguhan warga akademik dalam melaksanakan amanah.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa universiti menghargai dedikasi dan pencapaian luar biasa kakitangan akademik. Namun dalam masa yang sama, ia datang bersama tanggungjawab yang lebih besar untuk terus cemerlang dalam pengajaran, penyelidikan dan khidmat masyarakat,” jelasnya.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly; Bendahari UMS, Datuk Badrul Hisham Ismail; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri; serta barisan pegawai kanan universiti.
![]()