Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Thailand dijangka berdepan ketidaktentuan politik

0

BANGKOK: Beberapa penganalisis berpandangan Thailand mungkin bakal berdepan krisis politik berpanjangan walaupun
gabungan parti baharu sudah membentuk kerajaan dan pemimpin negara dilantik.

Situasi itu dijangka berlaku selepas Parti Move Forward (MFP) yang memenangi pilihan aya umum, diketepikan daripada membentuk kerajaan.

Profesor Pengajian Asia di Universiti North Carolina di Chapel Hill, Dr. Kevin Hewison percaya lebih banyak isu akan berlaku dalam masa terdekat.

“Ketika ini, situasi Thailand seperti berada dalam air sangat keruh dan masih belum dipetakan. Banyak rundingan tertutup
berlaku sehingga orang ramai diketepikan.

“Ini mungkin meletakkan rakyat dan demokrasi Thailand dalam potensi bahaya kerana pilihan raya tidak ambil kira dan
semua keputusan termasuk pemilihan dalam kerajaan dibuat secara tertutup dan menerusi golongan elit.

“Sudah tentu, langkah itu akan membuka jalan untuk kemunculan politik yang lebih radikal,” katanya.

Pengundian untuk memilih perdana menteri baharu Thailand ditangguhkan lagi selepas Speaker Wan Muhamad Noor
Matha menyatakan proses itu hanya boleh diadakan selepas Mahkamah Perlembagaan memberi kata putus terhadap rayuan
dibuat oleh MFP.

Khamis lalu, Mahkamah Perlembagaan memaklumkan pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk menyemak petisyen menentang keputusan Parlimen bulan lalu yang melarang pemimpin parti MFP, Pita Limjaroenrat daripada memohon pencalonan semula sebagai perdana menteri.

Pheu Thai, parti kedua terbesar di Parlimen Thailand, sudah mengambil alih peranan utama dalam membentuk kerajaan.

Parti itu kini akan membentuk gabungan baharu tanpa MFP dan mencalonkan usahawan hartanah, Srettha Thavisin sebagai perdana menteri.

Dalam pada itu, Hewison mengakui amat sukar untuk menjangkakan masa depan gabungan parti baharu itu termasuk calon perdana menterinya.

“Wujudnya rasa tidak puas hati yang ketara dalam kalangan penyokong MFP dan pemerhati lain berhubung sama ada Pheu
Thai akan selari dengan parti pro-tentera rejim terdahulu.

“Sekiranya ia berbuat demikian, maka saya menjangkakan pergolakan besar akan berlaku,” katanya.

Keputusan pilihan raya Mei lalu menyaksikan MFP mencatat kemenangan besar berbanding parti lain.MFP bersama lapan parti lain membentuk pakatan yang mempunyai 312 kerusi dalam Parlimen.

Bagaimanapun, MFP menarik diri daripada membentuk kerajaan selepas Pita, yang juga calon Perdana Menteri, tidak mendapat undi Parlimen yang mencukupi.

Ia kemudian menyerahkan tugas membentuk kerajaan kepada Pheu Thai.

Cubaan awal Pita untuk menjadi perdana menteri pada bulan lalu, gagal dengan lebih 50 undi disebabkan hanya 13 senator yang menyatakan sokongan kepadanya.

Bagaimanapun, usaha Pita gagal sekali lagi apabila Parlimen mengundi bahawa pemimpin itu tidak boleh mengemukakan namanya lagi bagi jawatan perdana menteri. – AGENSI

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.