JURULATIH pasukan B21 Piala Presiden Sabah FC, Jelius Ating berkata, kekurangan kejohanan bola sepak terutama ketika pandemik Covid 19 menyebabkan ramai pemain yang mengikuti sesi pemilihan pasukan kurang menyerlah.
Katanya, ia mungkin juga disebabkan pemain-pemain peringkat umur berkenaan kurang latihan akibat kekangan dari wabak tersebut.
Bagaimanapun, jurulatih itu tidak menafikan terdapat pemain yang mengikuti pemilihan awal tiu mempunyai bakat dan berpotensi untuk diserapkan dalam pasukan.
“Memang ada juga pemain yang berbakat dan sudah tentu mereka mempunyai peluang baik menganggotai pasukan yang bakal dibentuk nanti,” katanya.
Jelius yang sebelum ini pernah melatih skuad Liga Perdana Sabah, berkata pemilihan awal yang dilakukan sejak awal bulan ini sudah diadakan di lima zon termasuk Beaufort, Keningau, Ranau, Kudat dan Kota Kinabalu.
Menurut beliau, sesi pemilihan akan diteruskan di zon Tawau pada 3-4 Januari depan dan zon Sandakan pada 5-6 Januari.
Katanya, pemain yang lahir pada 1 Januari 2001 layak menyertai pemilihan terbuka itu.
Sesi pemilihan terakhir akan dijalankan di Kota Kinabalu pada 8-9 Januari depan.
Jelius dibantu penolong jurulatih Burhan Ajui dan jurulatih penjaga gol Jasrih Jabidin sepanjang pemilihan tersebut selain mendapat kerjasama scouting team yang diketuai bekas pemain kebangsaan, Matlan Marjan dan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Pasukan Piala Presiden Sabah FC akan memulakan latihan pra-musim pada 11 Januari sebelum Liga Piala Presiden dijadualkan bermula pada 24 Februari depan. – Oleh: DG HENRY
![]()