JAKARTA: Polis akan memanggil tujuh finalis Miss Universe Indonesia 2023 minggu depan bagi membantu siasatan kes gangguan seksual yang berlaku ketika penganjuran pertandingan ratu cantik itu.
Perkara itu disahkan Ketua Unit Hubungan Masyarakat Polis Daerah Metro Jaya, Komisioner Trunoyudo Wisnu Andiko yang turut memaklumkan perkara itu akan disiasat di bawah unit jenayah.
“Kita akan memanggil tujuh saksi dan mengambil keterangan mereka untuk membantu pihak polis melakukan klarifikasi terhadap kes berkenaan,” jelasnya.
Penganjuran Miss Universe Indonesia 2023 dicemari insiden gangguan seksual yang dilaporkan berlaku dua hari sebelum pertandingan berlangsung.
Berdasarkan kenyataan seorang finalis yang membuat laporan polis, terdapat proses pemeriksaan tubuh finalis yang tidak dinyatakan dalam jadual program di kawasan ballroom sebuah hotel di Jakarta Pusat.
Menurut laporan itu, finalis dipaksa membuka pakaian yang turut disaksikan tiga lelaki dan gambar mereka dalam keadaan separuh bogel turut dirakam ketika itu.
Beberapa pegawai tertinggi pertandingan dari syarikat PT Capella Swastika Karya yang memegang lesen Miss Universe di Indonesia dilaporkan meletak jawatan ekoran insiden tersebut.
Pertubuhan Miss Universe berkata pihaknya memutuskan hubungan dengan pemegang francais Indonesia dan membatalkan pertandingan sama di Malaysia ekoran insiden itu.
Organisasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan memaklumkan sudah menamatkan kontraknya dengan syarikat PT Capella Swastika Karya dan Pengarah Kebangsaannya, Poppy Capella, yang juga memegang lesen untuk Miss Universe Malaysia. -AGENSI