Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Umno Tenom ikrar sokong penuh Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak

0

Oleh: KALAWON SALANGIT

TENOM (Sabah, Malaysia): Umno Bahagian Tenom menyifatkan perbuatan Tun Mahathir Mohamad yang mahu Dato Seri Najib Tun Abdul Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri sebagai melampau, dan tidak mencerminkan sifatnya sebagai negarawan tersohor.IMG-20160402-WA0144

Ketuanya Datuk Rubin Balang berkata, Tun Mahathir pernah memimpin Negara ini selama 22 tahun dan ketika itu tidak ada sesiapa yang mempertikainya.

“Sepatutnya beliau (Tun Mahathir) tidak perlu berbuat demikian,” katanya dan menambah tindakan mantan Perdana Menteri Malaysia itu bersekongkol dengan individu daripada puak pembangkang yang pernah dianggapnya sebagai seteru politik dengan niat menghasut pemikiran rakyat untuk membenci kepimpinan kerajaan ketika ini boleh mengugat keamanan dan perpaduan.

Katanya, Umno Bahagian Tenom tidak dapat menerima apa yang Tun Mahathir sedang lakukan.

Rubin menjelaskan pandangan parti di peringkat bahagian itu kepada pengamal media selepas merasmikan persidangan berkolompok cawangan parti itu di sini.

Datuk Raime Unggi yang merupakan Timbalan Ketua Umno Tenom serta Ketua Pergerakan Wanita parti itu di sini – Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan turut tidak menyenangi gerak kerja politik Tun Mahathir.

Kenyataan bersama kedua-dua pemimpin itu menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, apa yang mereka sifatkan pemimpin yang sangat perihatin terhadap rakyat.

“Anda lihat pembangunan di Tenom dan semua ini adalah sentuhan Dato’ Seri Najib,” dedah kedua mereka.

Terdahulu ketika berucap diperasmian mesyuarat itu, Rubin menolak dakwaan yang mengatakan kononnya daerah kecil Kemabong dan daerah Tenom tercicir daripada arus pembangunan.

Wakil Rakyat Kemabong itu berkata, kerajaan persekutuan dibawah pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dan kerajaan negeri Sabah pimpinan Datuk Seri Musa Hj. Aman komited untuk membangunkan kedua-dua kawasan itu.

Katanya, banyak peruntukan yang beliau minta untuk membangunkan daerah itu telah diluluskan oleh pucuk pimpinan, sama ada di peringkat persekutuan atau pun negeri.

Beliau mencabar individu tidak bertanggungjawab itu supaya turun padang dan menyalurkan pembangunan kepada rakyat jika mereka beranggapan bahawa mereka lebih mampu berbuat demikian.

Tandatangan taat setia kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak diturunkan oleh ahli-ahli parti di peringkat bahagian sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada pemimpin itu.

 

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.