Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

UMS Terima 5,123 Pelajar Baharu Sesi Akademik 2025/2026

0
Naib Canselor beramah mesra bersama ibu bapa dan pelajar semasa pendaftaran kemasukan sesi akademik 2025/2026

KOTA KINABALU, 27 September 2025 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima seramai 5,123 pelajar baharu bagi kemasukan sesi akademik 2025/2026, dengan proses pendaftaran berlangsung pada 27 dan 28 September.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, berkata daripada jumlah tersebut, 4,167 pelajar ditempatkan di Kampus Kota Kinabalu, 734 di Kampus Antarabangsa Labuan, dan 222 di Fakulti Pertanian Lestari, Kampus Sandakan.

Suasana ketibaan pelajar baharu UMS sesi akdemik 2025/2026

“Daripada keseluruhan pelajar baharu ini, 3,648 orang (71.21%) berasal dari Sabah, 928 orang (18.11%) dari Semenanjung Malaysia, 453 orang (8.84%) dari Sarawak, 73 orang (1.42%) dari Wilayah Persekutuan Labuan, manakala 21 orang (0.41%) adalah pelajar antarabangsa.

“Pelajar antarabangsa tersebut datang dari lapan negara iaitu China, Jepun, Korea, Bangladesh, Pakistan, India, Indonesia dan Timor Leste,” katanya dalam sidang media selepas meninjau proses pendaftaran di kampus induk, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, berdasarkan statistik, 1,791 pelajar (34.96%) adalah lelaki manakala 3,332 pelajar (65.04%) perempuan.

Pengambilan kali ini juga merangkumi 2,830 pelajar daripada kategori B40 melalui laluan khas UPUonline, lapan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), serta 12 atlet sukan.

“Kesemua pelajar baharu akan mengikuti Minggu Suai Mesra (MSM) sehingga 1 Oktober ini sebagai persiapan awal untuk menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan kampus,” ujarnya.

Dalam tinjauan di kolej kediaman, Kasim menegaskan bahawa kemudahan termasuk bekalan air berada pada tahap baik dan bersedia menampung keperluan pelajar bagi sesi pengajian ini.

Beliau menambah, pentadbiran universiti juga menetapkan jadual pendaftaran berperingkat sebagai langkah mengelakkan kesesakan, sekali gus memastikan kelancaran proses.

“Suasana pendaftaran pada kali ini lebih teratur hasil penambahbaikan yang dilaksanakan pihak universiti,” katanya.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.