SOOK (Sabah, Malaysia) — Bagi menangani kesan langsung daripada kenaikan harga barang dan penyusutan kuasa beli rakyat, Ketua Penyelaras UPKO Sook, Mohd Khairy Abdullah @ Henry, mencadangkan peluasan pelaksanaan Tamu Desa di peringkat kampung sebagai platform strategik untuk menjana pendapatan dan menggerakkan semula ekonomi rakyat luar bandar.
Bercakap kepada media selepas menyantuni para peniaga di Tamu Desa Kampung Binuow, Khairy menekankan bahawa tamu desa bukan sekadar medan jual beli hasil kampung, malah berfungsi sebagai ruang ekonomi komuniti yang menyokong kelangsungan hidup penduduk pedalaman.
“Tamu desa bukan sekadar tempat berurus niaga, tetapi satu institusi komuniti yang menjadi tempat penataran ilmu dan pengetahuan perniagaan. Ketika harga barang keperluan melonjak dan kuasa beli rakyat luar bandar semakin merosot, kita perlu cipta ruang supaya penduduk dapat menjual hasil pertanian, makanan tradisional, kraftangan dan produk keluarga secara konsisten dan tersusun,” katanya.
Tamu Desa Sebagai Pemangkin Ekonomi Mikro
Cadangan UPKO Sook meliputi perluasan jadual tamu berjadual ke lebih banyak kampung seperti Kampung Malaing, Bonor, Kalampun, Karamatoi dan kawasan pedalaman lain. Antara manfaat utama pelaksanaan tamu desa termasuk:
- Memberi peluang tetap kepada pekebun kecil dan peniaga rumah untuk menjual hasil terus kepada pengguna;
- Mengurangkan kebergantungan kepada pasar pekan yang jauh serta mengurangkan kos pengangkutan;
- Mewujudkan ekosistem ekonomi tempatan yang lebih inklusif dan mapan.
“Jika setiap kampung mempunyai tamu sendiri, walaupun hanya dua kali sebulan, ia cukup untuk memperkenalkan aliran ekonomi dalaman yang lebih kukuh serta memupuk semangat berdikari dan keusahawanan dalam kalangan keluarga kampung,” tambah beliau.
Tekanan Harga & Kuasa Beli Semakin Kritikal
Menurut Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), inflasi makanan meningkat sebanyak 5.2% pada suku kedua 2025, manakala harga barangan asas seperti beras, minyak masak, telur dan susu terus melonjak. Di kawasan pedalaman seperti Sook, kuasa beli rakyat didapati menyusut antara 40 hingga 60%, berdasarkan pemantauan harga tempatan dan maklum balas lapangan.
Khairy turut mencadangkan agar pelaksanaan tamu desa disokong oleh koperasi kampung serta agensi seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), TEKUN Nasional dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Kerjasama Rentas Komuniti Diperlukan
Dalam memperkukuh impak Tamu Desa, UPKO Sook merancang inisiatif seperti:
- Latihan asas keusahawanan untuk wanita dan belia kampung;
- Pembekalan input perniagaan mikro seperti kanopi, meja jualan dan sistem pembayaran digital mudah alih;
- Penubuhan Pusat Sehenti Tamu Desa (PSTD) sebagai hab logistik dan agihan produk desa.
“Tamu desa bukan hanya tempat berniaga, tetapi juga wadah memperkukuh jaringan sosial, penataran ilmu dan pembinaan ekonomi antara komuniti. Kita mahu gerakkan ini bersama masyarakat — dari rakyat untuk rakyat,” tegas Khairy.
Komitmen Berterusan UPKO Sook
Sejak lebih lima tahun lalu, UPKO Sook konsisten menyantuni rakyat di pelusuk kawasan dengan mendengar dan menyelami aspirasi mereka demi kehidupan yang lebih baik, setara dengan rakyat Malaysia di tempat lain.
“Kampung-kampung di pedalaman Sook masih bergelut dengan isu asas seperti jalan raya, bekalan air dan capaian internet. UPKO Sook mahu kemelut ini diselesaikan. Ia tidak sepatutnya berlaku jika pemimpin hari ini benar-benar ikhlas memahami denyut nadi rakyat,” tambah beliau lagi. – Oleh: ROSANNA EDEZA dan CHRISTOPHER DOMINIC
![]()