LONDON: Seorang wanita yang dihukum penjara kerana melakukan pembunuhan mengakui menggemari filem terkenal, Chucky semasa zaman kanak-kanaknya.
Lapor Mirror UK, Shaye Groves, 27, dikatakan terpengaruh dengan aksi ganas yang dibawa watak patung pembunuh itu.
Groves didapati bersalah di Mahkamah Winchester Crown kerana membunuh teman lelakinya, Frankie Fitzgerald, 25, memotong leher dan menikamnya 17 kali di dada ketika lelaki itu sedang tidur pada Julai tahun lalu.
Wanita itu turut membingkai gambar pembunuh bersiri di dindingnya dan merancang untuk menggunakan petua dari dokumentari jenayah sebenar bagi mencipta alibinya.
Tetapi kini rakan-rakan lama Groves mendedah mengenai tanda-tanda amaran semasa zaman kanak-kanaknya selepas dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 23 tahun kerana jenayah yang mengerikan itu.
The Mail melaporkan Groves pernah menggelar rakan baiknya, Lauren White sebagai , ‘Chucky’ selain mempunyai sikap manipulatif dan sering berkelakuan pelik.
“Kami pernah keluar bersama. Groves agak pelik. Dia mempunyai cara berpakaian yang agak ane. Dia juga sukakan anak patung Chucky dan sangat berminat dengannya.
“Lauren pula akan melakukan apa sahaja yang Groves mahu dia lakukan. Dia sangat manipulatif terhadap Lauren,” jelas salah seorang rakan sekolahnya.
Pendakwa Raya, Steven Perian berkata, Groves menggunakan pengetahuannya daripada rancangan jenayah itu untuk menggambarkan dirinya sebagai mangsa keganasan seksual Fitzgerald namun perkara tersebut tidak pernah berlaku.