Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Wanita di Gaza terpaksa bersalin caesarean tanpa dibius, sanggup tahan sakit demi anak

0

GAZA: Krisis bekalan bahan perubataan yang dialami kebanyakan hospital di Gaza kini kian meruncing ekoran pengeboman dan kekejaman berterusan tentera penceroboh Israel sejak awal Oktober.

Lebih memilukan, pakar perubatan terpaksa melakukan pembedahan dan rawatan kecemasan tanpa ubat bius demi menyelamatkan nyawa mereka yang cedera parah di tengah-tengah kekurangan infrastruktur dan kakitangan perubatan, lapor Agensi Berita WAFA.

Pakar bius di Hospital Eropah di Gaza Nabil Al-Astal berkata sejak konflik bertambah tegang dan sebelum Hospital Al-Shifa digempur tentera Israel, para doktor di situ sudah terpaksa menjalankan pembedahan tanpa bius kerana bilangan mangsa yang cedera parah terlalu ramai dan ketiadaan ubat-ubatan.

“Rakan-rakan doktor saya di sana menjalankan banyak pembedahan tanpa menggunakan bius termasuklah pembedahan caesarean dan amputasi.

“Masalah bukan saja disebabkan terputus bekalan ubat, tapi juga kekurangan petugas perubatan yang apabila ramai kakitangan turut menjadi mangsa pembunuhan,” katanya kepada WAFA.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lebih 160 petugas penjagaan kesihatan telah terkorban ketika berkhidmat di Gaza sejak 7 Okt.

Bemula 7 Okt hingga 28 Nov, sebanyak 203 hospital diserang, bukan itu sahaja ambulans turut menjadi sasaran manakala bekalan perubatan disekat serta petugas kesihatan ditahan.

“Di sebalik semua cabaran dan halangan itu pasukan perubatan yang masih ada tetap berusaha sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik dengan menggunakan ubat alternatif dengan kesan hampir setara, tetapi tetap tidak dapat mengurangkan kesakitan kerana ia bukan penyelesaian ideal.

“Jadi, kebanyakan pembedahan tetap terpaksa dijalankan tanpa bius,” kata Nabil.

Sementara itu, pakar bedah Abdul Aziz Adel menyifatkan pembedahan ke atas pesakit ketika dalam keadaan sedar tanpa bius merupakan sesuatu yang sangat mengerikan dan boleh memberi kesan negatif kepada sistem saraf badan.

“Tapi di Gaza, amputasi bukan saja melibatkan proses yang kompleks malah juga terpaksa dilakukan di tempat yang sangat serba kekurangan. Bayangkanlah azab yang perlu ditanggung oleh pesakit yang mengalami patah tulang yang sangat teruk?.

“Malah pada satu tahap doktor terpaksa melakukan pembedahan mengeluarkan organ dalaman yang sudah rosak tanpa sebarang bius dan pensterilan,” katanya.

Beliau menjelaskan pembedahan kompleks yang melibatkan tulang patah atau hancur tidak mungkin dilakukan tanpa bius kerana semasa proses amputasi sejumlah besar lapisan kulit perlu dibuka dan dibelah satu persatu.

Setiap lapisan berkenaan pula mengandungi sel-sel saraf aktif yang akan menyebabkan kesakitan yang sukar untuk ditanggung jika tanpa bius.

 

 214 total views,  3 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.