Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Wartawan BBC dedah platform berita itu tidak lapor isu sebenar di Gaza

0

LONDON: Kumpulan wartawan mendakwa Perbadanan Penyiaran British (BBC) gagal menceritakan konflik Israel-Palestin dengan tepat, melebihkan kisah tebusan dan penduduk Israel yang terkorban berbanding penderitaan dihadapi rakyat Palestin di Gaza.

BBC juga didakwa mengetepikan konteks sejarah penting mengenai Palestin dalam liputan yang dibuat sejak perang meletus 7 Oktober lalu.

Dalam surat yang ditulis kepada Al Jazeera oleh lapan wartawan yang berpangkalan di United Kingdom (UK), BBC juga didakwa bersikap pilih kasih dalam cara bagaimana orang awam dilihat memandangkan ia tidak berganjak dalam melaporkan dakwaan jenayah perang Russia di Ukraine.

Kumpulan wartawan yang merahsiakan namanya itu tidak bercadang menghantar surat berkenaan kepada eksekutif BBC kerana percaya langkah sedemikian tidak mungkin membawa kepada perbincangan bermakna.

Sehubungan itu, mereka menghantar surat kepada Al Jazeera kerana bencana kemanusiaan di Gaza semakin memuncak, dan ketika surat itu ditulis, lebih 14,500 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh akibat pengeboman Israel, termasuk sekurang-kurangnya 6,000 kanak-kanak.

BBC gagal menceritakan penderitaan di Gaza dengan tepat dan oleh itu ia gagal membantu orang ramai dan memahami pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku di Gaza.

“Berbelas ribu rakyat Palestin terbunuh sejak 7 Oktober lalu dan bilakah pendirian editorial kami akan berubah,” menurut isi kandungan surat berkenaan.

Kumpulan hak asasi manusia dan ratusan ribu penunjuk perasaan di seluruh dunia, yang marah dengan jumlah kematian penduduk Palestin yang semakin meningkat di Gaza, turut menggesa gencatan senjata dilakukan segera.

Perang itu juga dilihat ‘memecahkan’ bilik berita di seluruh dunia, dengan perselisihan faham mengenai bagaimana setiap pihak digambarkan, tahap empati yang didakwa tidak sama rata ditunjukkan kepada mangsa Israel dan Palestin, dan penggunaan bahasa.

HANYA HAMAS YANG JAHAT

Menurut kumpulan wartawan itu, di seluruh platform BBC, istilah seperti ‘pembunuhan beramai-ramai’ dan ‘kekejaman’ hanya dikhaskan untuk Hamas, yang disifatkan sebagai satu-satunya penghasut dan pelaku keganasan.

“Kami meminta BBC untuk lebih memikirkan fakta berasaskan bukti organisasi kemanusiaan rasmi dan tidak berat sebelah.

“Liputan kemanusiaan terhadap orang awam Palestin semakin kurang,” menurut surat itu.

Mereka mendakwa penyiar hanya menggambarkan penderitaan Israel berbanding liputan kemanusiaan terhadap orang awam Palestin.

Al Jazeera turut menemu bual dua daripada lapan penulis dan mereka menyatakan organisasi itu tidak mewakili mereka.

“Bagi saya, dan pastinya bagi orang kulit berwarna lain, kita dapat melihat secara terang-terangan kehidupan awam tertentu dianggap lebih layak daripada yang lain, biarpun ada pihak yang lebih menderita.

“Itu sangat menyakitkan kerana sebenarnya, tiada seorang pun daripada kita berjuang untuk berempati dengan orang awam Palestin.

“Beberapa kakitangan dan wartawan kanan tidak begitu berempati dengan orang Palestin seperti yang mereka lakukan, sebagai contoh, dengan orang awam Ukraine,” kata penulis surat itu.

TIDAK PEDULI KEMATIAN DI GAZA

Sementara itu, penulis kedua berkata, mereka berasa muak dengan laporan kehilangan nyawa orang awam yang tidak masuk akal ketika serangan Hamas di wilayah Israel.

Katanya, media Barat tertalu ‘mengagung-agungkan’ kematian penduduk Israel berbanding kematian penduduk Palestin di Gaza.

Surat itu menyatakan BBC menyatakan sokongan trauma dan sesi mendengar untuk kakitangan yang terjejas oleh konflik.

“Tetapi bagi kebanyakan kita, terutamanya orang kulit berwarna, liputan BBC menjadi sebahagian daripada kesusahan kami,” menurut surat itu.

Surat itu juga mendakwa BBC gagal memberikan maklumat latar belakang penting mengenai pendudukan Israel dan sejarah penderitaan Palestin.

Kemas kini berita dan artikel media Barat kebanyakannya mengabaikan untuk memasukkan satu atau dua baris konteks sejarah kritikal mengenai 75 tahun pendudukan, Nakba, atau angka kematian tidak simetri sepanjang beberapa dekad.

Nakba atau malapetaka dalam bahasa Arab, merujuk antara 1947 dan 1949, apabila rejim Zionis dan kemudian tentera Israel yang baru dibentuk memusnahkan lebih 500 kampung dan pekan Palestin.

 

 

 

 316 total views,  3 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.