Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

12 hari di ISS, bilionair Jepun kembali ke Bumi

0

BILIONAIR Jepun, Yusaku Maezawa kembali ke Bumi semalam, selepas 12 hari meluangkan masa di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), menyaksikan beliau membuat beberapa video melakukan sejumlah rutin termasuk memberus gigi dan pergi ke tandas.

Maezawa yang merupakan taikun fesyen bersama pembantunya, Yozo Hirano mendarat di sebuah padang rumput kira-kira pukul 3.13 pagi waktu tempatan bersama seorang angkasawan Rusia, Alexander Misurkin.

Rakaman dari tapak mendarat iaitu kira-kira 150 kilometer ke tenggara pekan Zhezkazgan, menunjukkan ketiga-tiga trio itu tersenyum gembira dengan kejayaan misi tersebut.

Pengembaraan mereka ke angkasa lepas secara tidak langsung menggalakkan semula pelancongan angkasa Rusia yang sudah sedekad terhenti.

Selama 12 hari di ISS, Maezawa membuat video menunjukkan rutin hariannya dan kesemua rakaman itu boleh disaksikan menerusi saluran Youtubenya.

Hartawan berusia 46 tahun itu turut menunjukkan bagaimana untuk memberus gigi dan pergi ke tandas ketika berada di angkasa lepas.

Kehadiran Maezawa dan pasukannya memeriahkan lagi suasana di ISS yang ketika ini terdapat tujuh angkasawan di sana bagi melakukan kajian biologi dan fizik angkasa.

Sementara itu, Maezawa merancang untuk membawa seramai lapan orang bersamanya ke Bulan dalam satu misi pada 2023 menggunakan kapal angkasa SpaceX.

Pada 2001, agensi angkasa lepas Rusia, Roscosmos pernah membawa tujuh pelancong ke ISS dan kali terakhir negara itu membawa pelancong ke angkasa lepas adalah pada 2009, iaitu penghibur dari Kanada, Guy Laliberte. – AFP

 

 475 total views,  2 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.