SEORANG lelaki tidak menyangka dia tidur bersama mayat anaknya yang sebelum itu dibunuh oleh isterinya dalam satu kejadian di Tulang Bawang Barat, Lampung.
Menurut pihak berkuasa, pembunuhan itu berlaku apabila suspek yang merupakan ibu tirinya menolak mangsa sehingga kepalanya terhantuk ke lantai sebelum menekap mulut serta hidungnya selama 20 minit.
Jurucakap polis, Sunhot P Silalahi berkata, suspek menolak mangsa selepas berang melihat kanak-kanak berusia dua tahun itu berebut telefon bimbit dengan anak kandungnya.
“Suspek menceritakan dia menekup mulut dan hidung mangsa dengan niat untuk membunuhnya selepas kanak-kanak itu terkena sawan akibat kepalanya terhantuk ke lantai.
“Selepas mangsa meninggal dunia, suspek meletakkan mangsa di atas tilam dengan posisi seperti tidur dan ketika kejadian, bapanya tiada di rumah kerana bekerja sebagai penghantar barang,” katanya.
Selepas bapa mangsa pulang ke rumah, dia tidak mengesyaki apa-apa lalu tidur di sebelah mayat anaknya dan dia hanya menyedari tentang anaknya ketika cuba mengejutnya.
Jelas Sunhot, lelaki itu terkejut melihat badan anaknya keras dan sejuk, lalu memanggil jiran sebelum membuat laporan polis.
“Ibu tiri mangsa ditahan dan dia mengakui membunuh mangsa kerana geram dengan perangai suaminya yang enggan tinggal berjauhan dengan keluarganya, selain mentuanya sering menghinanya,” ujar Sunhot.