MYANMAR: Sekurang-kurangnya 12 orang awam terbunuh di Myanmar apabila peluru meriam meletup di sebuah pasar di Rakhine, Myanmar selepas Junta tentera Myanmar dan kumpulan pemberontak etnik Tentera Arakan (AA) saling menyalahkan satu sama lain berhubung tragedi serangan itu.
Kumpulan pemberontak AA yang berpangkalan di Rakhine yang juga bersempadan dengan Bangladesh mendakwa sebuah kapal perang tentera di luar bandar pelabuhan Sittwe melakukan serangan tembakan ke dalam pasar Myoma semalam dan telah membunuh 12 orang awam, manakala lebih 80 orang lagi tercedera.
Junta dalam kenyataan di saluran TV kerajaan Myawaddy mendakwa peluru itu dilepaskan oleh AA.
Bagaimanapun pihaknya tidak mengesahkan berapa jumlah korban dan Reuters tidak dapat mengesahkan kejadian terbabit.
Sittwe dan bandar-bandar lain di Rakhine menghadapi situasi tidak dapat menerima sebarang maklumat kerana Junta telah mengenakan semula sekatan internet dan data mudah alih di negara itu.
Myanmar berdepan dengan keganasan sejak Junta merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih dalam rampasan kuasa pada 2021.
Junta sejak Oktober lalu menghadapi cabaran terbesar untuk mencengkam kuasa, selepas kumpulan pemberontak bersenjata melancarkan serangan ke atas pos tentera di beberapa negeri di seluruh Myanmar.
Konflik di antara AA dan junta semakin meruncing di Rakhine dengan pertempuran tertumpu berhampiran Sittwe, iaitu sebuah pelabuhan penting dan hab perdagangan di Teluk Benggala.
Jurucakap kumpulan bersenjata etnik itu berkata, AA telah menolak keluar tentera junta sekurang-kurangnya di lima bandar termasuk Paletwa, sebuah pos perdagangan utama dan Ponnagyun hanya 34 kilometer dari Sittwe. – REUTERS