Oleh DG HENRY

SEKURANG-kurangnya 17 bekas pemain dari negeri ini kini mempunyai pasukan baharu dalam saingan Liga Malaysia dan M3 musim ini.

Mereka ialah Azizan Nordin, Hamran Peter (Penang FC), Mohd Syukri Baharun, Harith Naem (Melaka United), Rendy Robson Rining, Hizaz Lokman (UiTM FC), Randy Baruh (Perak FC), Evan Wensley Wenceslaus (Kelantan United FC), Joslan Aping (PDRM FC), Rahman Shah Marajeh, Rosdi @ Kante (Harini KS FC), Nasip Mohd Zain (KL Rovers FC), Mazlan Yahya (Langkawi City FC), Sabri Sahar, Jenius Karib, Arisdius Jais, Mohd Azwan Fatah (Kinabalu Jaguar FC).

Sebahagian daripada mereka merupakan pemain Sabah FC musim lalu, bekas pemain skuad Liga Perdana Sabah 2020 dan Piala Presiden.
Kehadiran pemain-pemain dari Negeri Bawah Bayu ini telah merwarnai pentas saingan Liga Malaysia musim baharu kali ini sekali gus membuktikan pembangunan bola sepak yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sebelum ini sudah menyerlahkan hasilnya.
Malah, seorang jurulatih tempatan berpendapat bahawa situasi yang berlaku ini membuktikan pemain-pemain Sabah mempunyai kualiti dan ada pasaran di luar.

“Saya fikir ini memperlihatkan pemain-pemain kita di Sabah mempunyai kualiti sebab itu mereka ada pasaran di luar,” katanya yang enggan namanya disebutkan.
Baru-baru ini, bekas pemain kebangsaan, Matlan Marjan pernah menyarankan supaya pemain-pemain Sabah berani mencari pasukan-pasukan di luar Sabah terutama di Semenanjung.
Katanya, dengan langkah demikian, mereka dapat meneruskan kerjaya bola sepak dengan menyertai pasukan yang baharu.
“Mereka perlu berani keluar dan membuktikan mereka boleh mempunyai tempat bersama pasukan di Semenanjung kerana di sana mereka dapat terus meningkatkan pencapaian masing-masing,” kata Matlan menerusi sesi bual bicara di Channel Youtube Azman Adnan, rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan dulu.
Sementara itu, para penganalisis bola sepak di sini turut mengesyorkan supaya SAFA, badan bola sepak tertinggi di Sabah mempunyai “data bank” bagi pemain-pemain negeri yang bermain di luar.
Ia bagi membolehkan pemain-pemain terbabit dapat dikenal pasti senarai nama mereka ada dalam data berkenaan di samping memudahkan pemantauan dan perancangan pembangunan bola sepak di Sabah dapat dilakukan.
![]()