Oleh EKOK AMIN
KARNIVAL bola sepak TABS SAFA Bandaraya siri kedua akan diadakan sebelum bulan ramadan ini.
Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim, memberitahu, unit kejurulatihan TABS sekali lagi akan menganjurkan karnival tersebut susulan sambutan memberangsangkan karnival serupa bulan lepas.
“Unit kejurulatihan akan berbincang dalam masa terdekat dan kita merancang untuk menganjurkannya sebelum bulan puasa,” katanya selepas memantau sesi latihan hujung minggu TABS di sini, pagi ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, berkata, karnival siri kedua itu akan melibatkan kategori umur B12, B15 dan B18.
Katanya, TABS merancang akan mengadakan sekurang-kurangnya empat karnival bagi kategori umur tersebut sepanjang tahun ini.
“InsyaAllah, jika tiada kekangan, kita boleh mengadakan karnival tersebut,” ujarnya.
Menurut beliau, pihaknya yakin unit kejurulatihan mempunyai keupayaan untuk merealisasikan penganjuran karnival berkenaan.
Lokman berkata, selain karnival membabitkan pelatih-pelatih sahaja, kejohanan bola sepak remaja bagi kategori B12, B15, B18 akan diperluaskan dengan menjemput pasukan-pasukan lain dari luar.
“Kita juga sebenarnya sudah mengadakan perbincangan awal dengan Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat untuk tujuan penganjuran bersama kejohanan bola sepak remaja itu,”.
“Pada dasarnya kita sudah mencapai persetujuan namun ia akan kita susuli bagi memuktamadkan pelaksanaannya kemudian,” kata beliau.
![]()