KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyarankan koperasi-koperasi premier di negara ini supaya membangunkan komponen Kecerdasan Buatan (AI) dan inovasi dalam pengoperasian dan perkhimatan mereka.
Beliau percaya koperasi-koperasi premier seperti Bank Rakyat, Co-Opbank Pertama dan Koperasi Petronas mempunyai keupayaan sendiri untuk membangunkan teknologi AI dan inovasi.
“Di peringkat kementerian, kita telah melancarkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030, di mana kita menggalakkan semua koperasi di negara ini mengadaptasi komponen digitalisasi dalam pengoperasian masing-masing, ini termasuklah AI.
“Saya ingin melihat koperasi-koperasi premier seperti Bank Rakyat, Co-Opbank, Koperasi Petronas dan Tenaga berada di hadapan untuk menjadi contoh dan motivasi kepada lebih 15,000 koperasi-koperasi lain di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam sempena Persidangan Kredit dan Perbankan Asia dan Pasific 2024, anjuran Perikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP), Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), di Aloft Hotel, Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Ketika ditanya sama ada kementerian mempunyai peruntukan khas untuk koperasi dalam pembangunan AI, Ewon berkata, pada masa ini kementerian tidak mempunyai peruntukan khusus untuk AI bagi gerakan koperasi.
Bagaimanapun katanya kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMA) mempunyai program sokongan untuk menggalakkan koperasi mengadaptasi digitalisasi.
“Di bawah SKM dan IKMA, kita ada beberapa program bimbingan dan pembiayaan supaya koperasi-koperasi ini dapat berhadapan dengan keperluan masa kini, antaranya Tabung Modal Pusingan boleh meningkatkan produktiviti koperasi termasuk komponen AI,” katanya.
Beliau berharap usaha itu dapat diselaraskan dengan Program AI untuk Rakyat yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Sehubungan itu katanya, perancangan itu harus bermula dari sekarang sebab AI untuk Rakyat telah dilancarkan dan seharusnya menjadi mesej kepada syarikat besar, termasuk koperasi premier.
“Saya mahu koperasi di Malaysia mampu memberi penawaran yang sama baik dengan syarikat multinational dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) lain dalam soal komponen inovasi dalam perkhidmatan,” ujarnya.
Terdahulu itu, ketika berucap Ewon berkata, setakat ini sebanyak 15,809 koperasi berdaftar di Malaysia dengan keanggotaan lebih 7.2 juta ahli iaitu meliputi 20% daripada jumlah penduduk negara ini dengan perolehan sebanyak RM64.6 bilion pada tahun 2023.
“Ini jelas menunjukkan bahawa gerakan koperasi menjadi antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Dasar Koperasi Malaysia 2030 menyasarkan perolehan RM73 bilion pada 2030, di mana bank-bank koperasi seperti Bank Rakyat dan Co-Opbank Pertama berperanan penting menyumbang kepada perolehan itu,” katanya.