Oleh DG HENRY
SEBANYAK 52 pasukan mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Bola Baling Terbuka Sabah merebut Piala Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Tun Sakaran Dandai Yayasan Sabah pada 15-18 September ini.
Pasukan terbabit termasuk 29 pasukan lelaki dan 23 pasukan wanita yang sudah mengesahkan penyertaan setakat ini dalam kejohanan empat hari itu.
Presiden Persatuan Bola Baling Sabah (SABHA), Datuk Awang Aslee Lakat, berkata pasukan tersebut termasuk dari Selangor, Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Katanya, selain pasukan berkenaan, satu pasukan dari Singapura juga menyatakan kesediaan turut mengambil bahagian.
“Kita masih membuka peluang kepada pasukan lain untuk mengambil bahagian memandangkan tarikh tutup penyertaannya pada 28 Ogos,” kata Awang Aslee dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini.
Menurut beliau, kejohanan itu menawarkan hadiah Rm10,000 bagi kategori lelaki dan RM5,000 bagi kategori wanita.
Beliau menambah, SABHA juga akan menggunakan khidmat 24 pengadil pengadil berpengalaman dari seluruh negara termasuk dua pengadil dari Indonesia.
Presiden SABHA itu seterusnya berharap kejohanan kali ini dapat diadakan dengan jayanya di samping sukan ini terus dapat diperluaskan ke sekolah-sekolah, jabatan-jabatan kerajaan dan swasta.