Oleh DG HENRY
PASUKAN Pantai Barat A dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Liga Wanita Nasional peringkat negeri Sabah setelah menumpaskan pasukan Pantai Barat Selatan A 5-0 pada perlawanan akhir di padang SAFA di sini pada Sabtu.
Pasukan itu yang dibarisi pemain-pemain wanita berpengalaman dengan mudah mendahului lawan mereka 3-0 pada saingan babak separuh masa pertama.
Sekali pun Pantai Barat Selatan A yang menampilkan pemain-pemain muda Sekolah Sukan Malaysia Sabah cuba memberi cabaran namun mereka masih gagal untuk melakukan penyudahan yang berkesan ke gawang lawan.
Akibatnya, Pantai Barat A terus mengasak dan memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk menambah dua lagi jaringan di separuh masa kedua.
Dengan kemenangan bergaya itu, Pantai Barat A berjaya meraihkan hadiah wang tunai RM5,000, sebuah piala dan medal manakala Pantai Barat Selatan A selaku naib juara membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan medal.
Tempat ketiga dimenangi secara bersama Pantai Barat B dan Pedalaman Atas B dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan medal.
Pemain Pantai Barat A, Usliza Usman yang menjaringkan 13 gol sepanjang kejohanan itu diisytiharkan sebagai penajring terbanyak dan dia menerima hadiah wang tunai dan sebuah trofi.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Dr Jelani Hamdan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita SAFA menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang.
Sebanyak 12 pasukan dari enam zon menyertai kejohanan tiga hari itu.