LEBIH 5,800 pengamal media tempatan bakal mendapat dos pertama vaksin Covid-19 dalam tempoh terdekat, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, langkah itu sejajar usaha kerajaan melindungi petugas barisan hadapan, termasuk guru dan pengamal media yang berisiko dijangkiti ketika membuat liputan di lapangan.
“Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dengan kerjasama Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta persatuan wartawan di Semenanjung Sabah dan Sarawak mengumpul 5,867 pengamal dan petugas media daripada 144 agensi media berdaftar,” katanya pada sidang media.
Katanya, CITF membuat keputusan untuk kerajaan memberikan janji temu kepada pengamal media secepat mungkin, selepas menerima semua butiran mengenai petugas media.
April lalu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) meminta penjelasan kerajaan dalam isu pemberian vaksin Covid-19 kepada pengamal media yang menjadi sebahagian daripada petugas barisan hadapan.
Presidennya, Farah Marshita Abdul Patah berkata, NUJM juga kesal dengan laporan terdapat kakitangan sebuah organisasi media swasta tertentu dipercayai sudah disuntik vaksin Sinovac secara “senyap-senyap”.
Katanya, perkara itu secara tidak langsung memperlihatkan wujud ketirisan dalam soal pemberian vaksin, apatah lagi kebanyakan portal berita dan media di bawah NUJM masih menunggu lampu hijau kerajaan.
Di Kota Kinabalu Editor The Borneo Digest Mohd Khairy Abdullah mahu kerajaan supaya proses vaksinasi dilaksanakan dengan lebih teratur.
Katanya, lapuran kemajuan vaksinasi juga perlu dibuat sama ada harian atau berkala bagi memastikan rakyat mengetahu tahap kemajuan proses pemberian dos tersebut.
“Hari ini kita tidak nampak siapa yang sudah menerima vaksin itu,” Katanya dan menambah kakitangan portal berita itu (The Borneo Digest) juga mahu dilibatkan sebagai sebahagian daripada 5,800 pengamal media yang bakal menerima dos pertama dos itu.