KENINGAU (Sabah, Malaysia), 7 Ogos 2025 — Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempergiat usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan secara menyeluruh di Malaysia Timur, dengan Sabah dijadikan medan strategik untuk menjana pertumbuhan ekonomi inklusif dan mampan.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda nasional untuk memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), yang menjadi tulang belakang kepada struktur ekonomi negara.
“Sabah memiliki kekuatan tersendiri dalam pelbagai sektor — termasuk pertanian, pelancongan, industri makanan halal dan perkhidmatan digital. Potensi luar biasa ini mesti dimanfaatkan melalui strategi bersepadu membabitkan pembiayaan, pembangunan kapasiti dan jaringan pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Maju Usahawan MADANI 2025 peringkat Sabah yang berlangsung di Hotel Juta, Keningau, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi SME Bank, Dato’ Muslim Hussain, dan Ketua Pegawai Eksekutif CEDAR (Centre for Entrepreneur Development and Research), Amirul Imran Ahmat.
Menurut Ewon, KUSKOP memberi tumpuan khusus kepada kelompok usahawan strategik termasuk usahawan mikro, wanita, belia serta pemain industri baharu yang beroperasi kurang daripada tiga tahun, selaras dengan aspirasi inklusif Kerajaan MADANI.
“Saya hadir bukan sekadar memenuhi undangan, tetapi sebagai manifestasi komitmen berterusan KUSKOP dalam mendukung pembangunan keusahawanan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi rakyat,” ujarnya.
Ewon turut menzahirkan penghargaan kepada SME Bank dan CEDAR atas penganjuran program ini, yang menurutnya bukan sahaja berfungsi sebagai platform latihan, tetapi juga medan strategik untuk membina jaringan profesional, membentuk kolaborasi industri dan meneroka peluang pasaran domestik serta antarabangsa.
Sehingga Jun 2025, lebih 1,600 usahawan telah menerima manfaat daripada Program Maju Usahawan MADANI di seluruh negara, dengan 240 daripadanya melibatkan peserta dari Sabah — satu angka yang menggambarkan keyakinan tinggi komuniti usahawan terhadap keberkesanan program.
Mengulas lanjut, Ewon menyatakan bahawa sektor PMKS menyumbang 39.1% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 7.86 juta rakyat Malaysia.
“Ini bukan sekadar statistik ekonomi. Ia mencerminkan kekuatan rakyat dalam mencipta nilai dan kemakmuran. Justeru, setiap pelaburan dalam pembangunan usahawan adalah pelaburan dalam masa depan negara,” tegasnya.
Program seperti ini, kata Ewon, turut membuka ruang interaksi langsung antara kerajaan dan usahawan, membolehkan kementerian serta agensi pelaksana seperti SME Bank dan CEDAR menilai keperluan sebenar di lapangan.
“Maklum balas daripada peserta akan menjadi input penting dalam mereka bentuk semula modul latihan, memperkenal inisiatif baharu serta melaksanakan dasar yang lebih responsif, adaptif dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau menekankan bahawa kekuatan sebenar sesebuah ekosistem keusahawanan terletak pada keupayaan semua pihak — termasuk kerajaan, sektor kewangan, agensi negeri dan pemain industri — untuk berganding bahu dalam mencipta sinergi pembangunan.
“Sinergi ini adalah asas kepada ekosistem keusahawanan yang progresif, mampan dan inklusif, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menjunjung keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial,” jelas Ewon.
Sebagai anak jati Sabah, Ewon menyuarakan aspirasi untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat rujukan keusahawanan berasaskan komuniti, inovasi dan keterangkuman, bukan sahaja untuk Malaysia Timur, malah di peringkat ASEAN.
“Dengan jaringan kerjasama yang kukuh, dasar yang pro-usahawan dan semangat rakyat Sabah yang luar biasa, saya percaya negeri ini akan muncul sebagai contoh kejayaan transformasi keusahawanan nasional,” katanya menutup ucapan.