Oleh: KALAWON SALANGIT
KENINGAU (Sabah, Malaysia): — Gara-gara kerana mee segera, abang tergamak menembak mati adik kandung sendiri.
Hari yang malang itu berlaku pada Sabtu (28 Mei 2016) di Kg. Kabangawon Nabawan kira-kira jam 4.00 petang waktu tempatan.
Memberitahu perincian kes itu kepada pengamal media di satu sidang, Ketua Polis Keningau DSP Douglas Nyeing Taong berkata mangsa dikenali sebagai Peridan Bin Rawang 34, yang bekerja sebagai seorang pemandu lori.
Taong berkata, mangsa dikatakan tidak menyenangi suspek (abangnya) yang telah menyuruh anak sulungnya yang berumur 14 tahun untuk membeli mee segera di salah sebuah kedai runcit berhampiran.
Dalam keadaan marah, mangsa dikatakan datang mencari suspek yang dilaporkan sedang berehat di rumahnya untuk tujuan bergaduh sambil membawa sebilah pedang samurai.
Suspek berumur 38 tahun pada waktu kejadian.
Menyedari situasi yang tidak boleh dikawal, suspek yang telah hilang pertimbangan mengambil selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk, dan melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa.
“Mangsa menghembuskan mati di tempat kejadian,” jelas Taong.
Berdasarkan siasatan awal senjata api jenis bakakuk itu disyaki milik mangsa tetapi disimpan di rumah suspek.
Menurut fakta kes, kira-kira jam 6.00 petang hari yang sama polis Nabawan menerima laporan daripada seorang penduduk yang memberitahu mengenai kes tersebut berlaku di Kg. Kabangawon Nabawan.
Bertindak diatas maklumat sepasukan polis dari balai itu yang diketuai olej Sarjan Mejar Kunsiang Saraban bergegas ke tempat kejadian dan memberkas seorang lelaki yang disyaki terlibat.
Suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Kesekasaan, dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.
Selaras bakakuk dan sebilah pedang samurai dirampas daripada suspek untuk dijadikan bahan bukti.
Sementara itu laporan bedah siasat yang dilakukan oleh Dr. Jessie Hiu pada 29 Mei 2016 di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu mendapati, punca kematian mangsa disebabkan pendarahan dalaman.
“Paru-paru, saluran darah utama serta rongga dada mangsa mengalami kecederaan parah,” – Dr. Jessie dipetik sebagaimana laporan bedah siasat yang diumumkan oleh pihak keselamatan.
Mayat mangsa telah dituntut oleh keluarga dan dibawa ke kampong halaman untuk disemadikan.