Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ahli arkeologi Mesir temui bahagian patung besar Ramses II

0

KAHERAH: Kementerian Pelancongan dan Barang Antik Mesir mengumumkan kerjasama Mesir-Amerika Syarikat (AS) dalam misi arkeologi telah menemui bahagian atas patung besar Raja Ramses II semasa penggalian di selatan bandar Mesir, Minya.

Ketua pasukan misi Mesir, Bassem Jihad, berkata ukiran blok batu kapur itu adalah kira-kira setinggi 3.8 meter dan menggambarkan Ramses yang sedang duduk memakai mahkota berkembar dengan hiasan kepala ular tedung diraja.

“Bahagian atas jalur belakang patung itu menunjukkan tulisan hieroglifik yang memuliakan Raja, salah seorang Firaun Mesir kuno yang paling berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Ramses II, yang juga dikenali sebagai ‘Ramses the Great’ adalah firaun ketiga dari Dinasti Ke-19 Mesir dan memerintah dari 1,279 hingga 1,213 SM.

Saiz patung itu, apabila digabungkan dengan bahagian bawahnya yang digali beberapa dekad lalu, mencapai ketinggian kira-kira tujuh meter.

Kota El Ashmunein, di tebing barat Sungai Nil, dikenali di Mesir purba sebagai Khemnu dan pada era Greco-Rom ialah ibu kota wilayah Hermopolis Magna.

Ketua Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir, Mustafa Waziri, berkata kajian mengesahkan bahagian atas patung itu sepadan dengan bahagian bawah yang ditemui oleh ahli arkeologi Jerman, Gunther Roeder, pada 1930.

Menurut Waziri, misi itu telah mula membersihkan dan menyediakan blok sebelum membuat model rupa patung itu apabila kedua-dua bahagian digabungkan. – REUTERS

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.