Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ahmad Zahid sahkan tidak ada pergolakan politik besar di Sabah

0

KOTA BELUD (Sabah, Malaysia): Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tidak ada pergolakan politik besar di Sabah.

“Saya ingin menolak dakwaan bahawa terdapat kemelut politik di Sabah. Sebaliknya, keberadaan saya di negeri ini bagi menghadiri Majlis Peluncuran Pembangunan Kedamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kedamaian 2023.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu memaklumkan kepada pengamal media bahawa pertemuannya bersama pemimpin UMNO Sabah malam Ahad bertujuan mengemas kini beberapa kerja politik, terutamanya penyusunan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan pada penghujung tahun depan.

“Tidak wujud kemelut politik di Sabah. Namun, perjumpaan saya dengan rakan-rakan kepimpinan politik terutamanya UMNO hanya bertujuan mengemas kini beberapa kerja-kerja politik, khususnya di dalam penyusunan struktur jentera setelah selesai pilihan raya umum (PRU) dan PRN di enam negeri sebelum ini.

“Walaupun kita tahu bahawa PRN Sabah hanya akan diadakan selewat-lewatnya pada akhir tahun depan tetapi tidak salah sekiranya UMNO melakukan tindakan siap siaga dari sekarang.

“Jangan ada mana-mana pihak yang membuat analisis atau spekulasi bahawa sesuatu sedang berlaku dari segi politik di negeri Sabah,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Peluncuran Pembangunan Kedamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kedamaian 2023 di Kampung Kedamaian, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid pada malam Ahad mengadakan pertemuan dengan pemimpin UMNO Sabah tetapi tiada kenyataan berhubung dikeluarkan selepas pertemuan tertutup itu.

Perjumpaan itu antara lain dihadiri Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Senator Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, antaranya Datuk Mohamad Alamin dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.