Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Zahid hadir Krismas ADUN Kadamaian, luncur RM244 juta projek jalan Kadamaian 

0
AHMAD ZAHID

KOTA BELUD (Sabah, Malaysia): Timbalan Perdana Manteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena sambutan Rumah Terbuka Krismas Kadamaian dan Tahun Baharu 2024, di Dewan Kadamaian Square Taginambur, di sini, hari ini.

Pada majlis itu beliau meluncurkan tiga projek menaiktaraf Jalan Luar Bandar (JLB) Kedamaian, iaitu Jalan Tengkurus Lahanas Siba-Lahanas Sokid dan Jalan Sayap yang sudah dalam proses pelaksanaan serta Jalan Podos Taginambur yang dalam proses pelantikan kontraktor.

Kesemua projek ini melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM244 juta di bawah peruntukan KKDW.

Beliau turut melancarkan Digital Desa satu inisiatif daripada Bank Rakyat dalam membudayakan gaya hidup tanpa tunai dalam kalangan rakyat dan usahawan luar bandar serta menyampaikan sumbangan Awal Pengajian daripada Yayasan Bank Rakyat kepada seramai 97 pelajar kawasan Kadamaian.

Ahmad Zahid mengumumkan kelulusan sebanyak 40 unit rumah perumahan penduduk rakyat termiskin (PPRT) kawasan Kadamaian.

Pelbagai acara diadakan sempena majlis itu, antaranya Jualan Madani Koperasi yang menawarkan harga barang keperluan harian lebih rendah daripada harga biasa di pasaran dan pameran 10 agensi di bawah Kementerian  Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Ketika berucap pada majlis itu, Ahmad Zahid berkata, walaupun berbeza pandangan dan kepentingan politik namun kepentingan rakyat harus diutamakan.

“Dalam situasi inilah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan keutamaan supaya kestabilan politik dipertahankan, kerana akhirnya kestabilan politik ini akan dapat menggamit Pembangunan negara hasil daripada pelaburan yang akan datang daripada luar.

“Pelaburan dalam negeri mengurangkan pengangguran, kadar inflasi, menstabilkan harga barangan dan yang paling penting ialah rakyat harus disejahterakan.

“Inilah tujuan apabila berjanji, kita harus berpegang kepada janji kita. Apabila kita mengadakan kesepakatan di kalangan kita terutamanya kepimpinan parti-parti yang menganggotai parti komponen di peringkat negeri atau pusat kita mesti berpegang kepada janji.

“Kita tidak mahu apabila perundingan Persekutuan diperolehi tetapi pelaksanaannya dbuat secara berbeza untuk menjaga kepentingan kelompok sahaja,” katanya.

Sehubungan itu Ahmad Zahid berkata: “dalam keadaan ini, itulah sebabnya saya menghargai pendirian dan  pegangan YB Datuk Ewon Benedick, seorang pemimpin muda parti politik di Sabah yang memberikan keutamaan kepada rakyat dan menyantuni perbedaan di kalangan rakyat yang diwakilinya”.

EWON

Beliau berkata, Kerjasama seperti ini harus terus diperkukuhkan bagi membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, Pelan Pembangunan Kadamaian 2020 – 2035 merupakan dokumentasi aspirasi rakyat Kadamaian yang dihasilkan melalui kajian lapangan selama enam bulan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dan pejabat ADUN Kadamaian pada tahun 2018.

“Pelan Induk Pembangunan Kadamaian menjadi dokumen kerajaan dan panduan kepada semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan untuk membawa pembangunan yang lebih pesat dan sistematik di kawasan Kadamaian.

“Ini wawasan saya untuk membangunkan Kadamaian berasaskan dua sektor ekonomi utama iaitu pertanian dan pelancongan serta penyediaan atau penaiktarafan kemudahan infrastruktur asas serta bidang keusahawanan desa,” katanya.

Ewon berkata, kerja-kerja menaiktaraf dua jalan Luar Bandar Kadamaian iaitu Jalan Tengkurus-Lahanas dan Jalan Sayap-Mansulit kini sedang dilaksanakan, manakala Jalan Tambulaung-Podos kini dalam proses pelantikan kontraktor.

Katanya, projek jambatan konkrit Kg.Kaung Ulu juga sedang dalam proses perlantikan kontraktor.

“Begitu juga dengan Jalan Mandap-Doluoh-Kinasaraban. Pelaksanaan projek penaiktarafan jalan-jalan ini menyerlahkan lagi kejayaan Pelan Pembangunan Kadamaian.

“Saya yakin apabila siap kelak ia akan mengubah landskap aktiviti ekonomi penduduk Kadamaian terkenal dengan perusahaan eko-pelancongan selain aktiviti pertanian,” katanya.

Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato Sri Suriani Dato Ahmad, Adun Usulan Datuk Seri Salleh Tun Said, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta para pemimpin negeri.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.