
TEHRAN: Anak perempuan, cucu, menantu perempuan dan menantu lelaki Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel, lapor media kerajaan Iran pada Ahad.
Media rasmi Iran mengumumkan pembunuhan Khamenei pada awal Ahad. Seorang pegawai kanan Israel memaklumkan kepada Reuters bahawa jenazah pemimpin Iran itu ditemui selepas serangan.
Presiden AS, Donald Trump, berkata AS bekerjasama rapat dengan Israel untuk menyasarkan pemimpin yang memimpin Iran sejak 1989 itu.
Trump menulis dalam catatan di rangkaian Truth Social bahawa sistem risikan dan pengesanan memantau pergerakan Khamenei, sambil menambah: “Tiada apa yang boleh dilakukan oleh beliau, atau pemimpin lain yang terbunuh bersamanya”.
Beliau turut mengulangi gesaan supaya rakyat Iran menumbangkan kerajaan, tetapi memberi amaran: “Pengeboman bersasar dan berat ini akan diteruskan, tanpa henti sepanjang minggu atau selagi perlu untuk mencapai matlamat KITA IAITU KEAMANAN DI SELURUH ASIA BARAT, MALAH, DUNIA!”
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata kawasan kediaman Khamenei telah musnah.
Tiga sumber yang mengetahui perkara itu memaklumkan Menteri Pertahanan Iran, Amir Nasirzadeh, dan Komander Pengawal Revolusi, Mohammed Pakpour, antara mereka yang terbunuh dalam serangan itu.

Tentera Israel mengesahkan lima lagi pegawai kanan tentera turut maut, termasuk Ali Shamkhani, penasihat kepada pemimpin tertinggi Iran.
Media Iran turut melaporkan anak perempuan Khamenei, cucu, menantu lelaki dan menantu perempuan turut terbunuh.
Saksi melaporkan sebahagian rakyat Iran turun ke jalanan di Tehran, bandar berdekatan Karaj dan bandar tengah Isfahan untuk meraikan laporan kematian Khamenei.
Video yang dimuat naik di media sosial, yang tidak dapat disahkan segera oleh Reuters, turut menunjukkan sambutan di lokasi lain.
Letupan semasa serangan itu menimbulkan panik meluas di seluruh Iran.
Dalam mesej video di media sosial awal Sabtu, Trump berkata matlamat kempen ketenteraan yang dinamakan oleh Jabatan Perang AS sebagai ‘Operation Epic Fury’ adalah bagi ‘menghapuskan ancaman segera daripada rejim Iran’.
Rakyat Iran diseru ‘mengambil alih’ pentadbiran negara mereka, kata Trump dalam video itu.
“Ia akan menjadi milik anda untuk diambil,” tambahnya. “Ini mungkin peluang tunggal anda untuk generasi akan datang,” katanya. – REUTERS
![]()