
UVIRA: Dua kubur besar mengandungi sekurang-kurangnya 172 mayat ditemui di bandar Uvira, timur Republik Demokratik Congo, susulan pengunduran kumpulan pemberontak AFC/M23, menurut seorang pegawai kanan kerajaan.
Kumpulan pemberontak terbabit sebelum ini menawan seketika Uvira, sebuah hab transit di Tasik Tanganyika berhampiran sempadan Burundi, pada Disember lalu.
Mereka mula berundur seminggu kemudian di bawah tekanan Amerika Syarikat (AS) dan tentera Congo yang memasuki semula bandar berkenaan bulan lalu.
Jurucakap AFC/M23 tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk ulasan pada Jumaat.
Pihak berkuasa tempatan tidak menyatakan punca kematian mangsa, dan Reuters tidak dapat mengesahkan mengenai kematian itu secara bebas.
Gabenor wilayah South Kivu, Jean-Jacques Purusi, yang dilantik Kinshasa, memberitahu pemberita tempatan bahawa kubur berkenaan ditemui di kawasan kejiranan Kilomoni dan Kavimvira.
Tambah beliau, satu kubur mengandungi 31 mayat manakala satu lagi mengandungi 141 mayat.
Seorang aktivis hak asasi manusia tempatan, Mashauri Mwindule, memberitahu Reuters lebih banyak kubur ditemui di Kabimba, sebuah kampung terletak lapan kilometer (km) dari Uvira.
Kumpulan kempen hak asasi, Human Rights Watch (HRW) melaporkan pada Disember bahawa pejuang M23 telah melakukan hukuman mati tanpa perbicaraan di Uvira, dengan mayat ditemui di beberapa kawasan kejiranan termasuk Kavimvira.
HRW memetik maklumat daripada penduduk dan sumber Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
AFC/M23 tidak menjawab dakwaan itu pada masa berkenaan, namun sebelum ini menuduh pertubuhan itu menjalankan kempen maklumat salah terhadap mereka.
HRW menyatakan bahawa tentera Congo dan kumpulan militia sekutu turut melakukan penderaan sebelum pemberontak menawan bandar itu serta semasa mereka berundur.
AFC/M23 menguasai sebahagian besar wilayah North dan South Kivu selepas serangan pantas tahun lalu yang menyaksikan mereka menawan bandar strategik Goma dan Bukavu.
Dalam pada itu, Rwanda menolak dakwaan Congo, PBB dan kuasa Barat bahawa ia menyokong M23 dengan bekalan senjata serta anggota tentera.
Pertempuran terus berlanjutan dalam beberapa minggu kebelakangan ini di beberapa barisan hadapan di timur Congo meskipun terdapat usaha timbang tara oleh beberapa pihak termasuk Qatar dan AS. – REUTERS
![]()